DARO: Medan Selera Daro yang akan mula beroperasi pada Mac ini bakal menjadi satu lagi mercu tanda ikonik di daerah itu yang berpotensi menarik kedatangan pelancong.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, prasarana baru itu yang siap dibina sepenuhnya dengan kos sebanyak RM4 juta akan dilengkapi dengan astaka untuk menganjur pelbagai acara rasmi serta majlis keramaian.

Untuk itu, beliau amat berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM450,000 bagi membina astaka dan menurap keseluruhan kawasan berkenaan untuk melengkapkan medan selera itu.

“Projek ini merupakan salah satu projek ‘crowd puller’ bagi Medan Selera Daro. Dengan adanya astaka atau pentas mini ini akan dapat merancakkan lagi kunjungan kepada Medan Selera dengan pelbagai aktiviti dan program boleh diadakan,” katanya ketika ditemuramah semasa Majlis Serah Tapak Projek Bina Baru Astaka Medan Selera Daro pada Jumaat.

Sehubungan itu, Safiee mempelawa peniaga-peniaga di kawasan itu yang berminat untuk berniaga di medan selera itu agar menghantar permohonan mereka kepada Majlis Daerah Matu Daro dengan tarikh tutup pada 31 Januari ini.

Tambahnya, temuduga akan diadakan terhadap para peniaga yang memohon sekiranya permohonan melebihi lot yang disediakan.

“Kepada peniaga yang terpilih berniagalah dengan baik dan gunakan kemudahan ini sebaiknya. Buatlah tarikan kepada pengunjung dengan makanan dan minuman yang disediakan cuma ada di kawasan ini sahaja,” katanya.