Tuesday, June 28, 2022

Laksanakan perkhidmatan awam dengan baik

Secara Rawak

MIRI: Tugas utama penjawat awam ialah untuk memastikan setiap inisiatif dan langkah yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak dapat disampaikan terus kepada masyarakat.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, tugas ini antaranya menyampaikan perkhidmatan dan program projek kerajaan kepada masyarakat dan pihak berkepentingan.

“Tugas penjawat awam ialah satu, menyampaikan perkhidmatan dan kedua, menyampaikan program projek kerajaan.

“Tanggungjawab penjawat awam adalah untuk menjalankan tugas dan peranan dalam perkhidmatan awam kepada rakyat dan pihak yang berkepentingan.

“Jika kita gagal dalam tugas ini, gagal dalam menyampaikan perkhidmatan seperti dikehendaki bermakna kita gagal dalam tugas kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak di Miri pada Khamis.

Dalam pada itu, Datuk Amar Jaul mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada penjawat awam yang terdiri daripada barisan hadapan yang telah bersama mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 di Bahagian Miri ini.

“Pegawai kerajaan telah mencurahkan bakti dan juga memain peranan dalam menangai isu COVID-19 daripada merebak jauh ke kawasan kita dan juga kawasan-kawasan di luar bandar.

“Memanglah perkara yang berlaku ini adalah yang luar biasa jadi saya percaya bahawa di Miri penjawat awam yang bertindak sebagai barisan hadapan telah memainkan peranan dengan begitu cemerlang sekali.

“Tahniah kepada pegawai-pegawai di Miri,” ujarnya.

Beliau turut menyeru kepada penjawat awam dan masyarakat di Miri untuk sama-sama menjaga kebersihan diri dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Hadir sama Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pemangku Residen Bahagian Miri, Pegawai-pegawai Daerah Bahagian Miri dan Ketua-ketua Jabatan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru