KUCHING: Banyak contoh orang miskin menjadi kaya di negeri ini disebabkan mereka berjaya dalam pelajaran, kata Ketua menteri.

Itulah sebabnya, menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Kerajaan Sarawak memberi perhatian berat terhadap bidang pendidikan di negeri ini, kerana percaya bahawa pendidikan dapat mengubah nasib dan masa depan seseorang dan keluarganya.

“Banyak kisah kejayaan orang miskin menjadi kaya kerana mempunyai pendidikan dan ilmu pengetahuan,” kata beliau dalam sesi wawancara khas dengan Sarawak Voice di pejabatnya, semalam.

Beliau berkata, kemiskinan biasanya berpunca daripada ketiadaan ilmu pengetahuan dan pelajaran.

“Kalau anda miskin ilmu, anda akan miskin. Sebaliknya kalau mendapat ilmu, ia akan mengubah nasib anda,” katanya lagi.

Oleh itu, jelas Abang Johari, Kerajaan Sarawak memberi penekanan dalam bidang pendidikan bagi mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini.

Untuk rekod, kadar kemiskinan di Sarawak ialah 9 peratus berbanding 11.9 peratus pada 2016.

Jelas Ketua Menteri lagi,  strategi memberi latihan kepada anak-anak dan ibu bapa secara tidak langsung dapat membantu membasmi kemiskinan.

“Itulah sebabnya saya berpegang kepada falsafah Cina — Jangan beri ikan tetapi ajar mereka menangkap ikan,” katanya.