MIRI: Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew mengucapkan terima kasih kepada penduduk Bandaraya Miri yang telah menderma pengusung ambulans yang bernilai RM8,000 kepada Hospital Miri.

Katanya, ini menunjukkan sikap penduduk Bandaraya Miri yang prihatin terhadap kesihatan masyarakatnya termasuk sebelum ini membantu menderma darah semasa pandemik COVID-19.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020, Kempen Derma Darah yang dianjurkan Bulan Sabit Merah telah mendapat respon yang baik daripada penduduk Miri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Stretcher sumbangan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Miri di Miri pada Khamis.

Dalam pada itu, Datuk Sebastian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau mengingatkan penduduk di Bandaraya Miri supaya tidak keluar jika tiada keperluan dan sentiasa menjaga kebersihan diri.

Hadir sama Timbalan Pengarah Hospital Miri Dr. Francis Heng Eng Khai, Penghulu Leonard Fong, wakil Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) Sandy Dihik dan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Miri Melinda Chan dan Allen Wong.