KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengambil langkah  untuk mengurangkan kekerapan penerbangan dari luar Sarawak ke Sibu dan Miri dalam usaha mengurangkan penyebaran Covid-19 di negeri ini yang dibawa dari luar.

Kata Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin,   perkara itu diputuskan oleh jawatankuasa tersebut pada 5 Januari lalu.

“Ini berdasarkan permintaan daripada  pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu dan Miri, selain  mengambil kira jumlah bilik hotel yang terhad untuk tujuan kuarantin selain peningkatan kes Covid-19 di Semenanjung Malaysia dan Sabah” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, maklumat terkini mengenai jadual penerbangan yang diluluskan oleh JPBNS  akan dmaklumkan kepada orang ramai melalui media sosial agar mereka   mengetahui sepenuhnya perubahan jadual penerbangan” katanya sambil menambah ini akan membantu mereka  merancang perjalanan dengan lebih baik dalam tempoh pandemik Covid–19 yang mencabar di negeri ini.

Kata Lee, dalam merancang keseluruhan jadual penerbangan,  setiap syarikat penerbangan diberi waktu penerbangan yang berbeza untuk membantu syarikat penerbangan mendapatkan muatan penumpang yang lebih baik untuk penerbangan mereka.

Jelasnya,  susulan keputusan JPBNS, kementeriannya juga telah menulis surat kepada Malaysia Airlines, AirAsia dan MASwings pada 5 Januari  lalu mengenai jadual penerbangan diluluskan, yang berkuat kuasa Sabtu ini.

“Saya ingin mengingatkan semua syarikat penerbangan agar hanya menjual tiket penerbangan mengikut jadual penerbangan yang diluluskan oleh JPBNS,” ujarnya.

“Ini penting untuk memberikan perkhidmatan penerbangan yang boleh dipercayai kepada orang ramai di negeri ini,” tegasnya.