KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) memutuskan hanya pelajar tahun akhir yang berkeperluan untuk berada secara fizikal di kampus dibenarkan memulakan pengajian di kampus tersebut seawal 1 Mac ini.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Covid-19 Unimas, selain pelajar tahun akhir, pelajar pascasiswazah mod penyelidikan sahaja dan penuntut berkeperluan berasal dari Sarawak juga antara yang dibenarkan memulakan pengajian mereka.

Kata kenyataan itu lagi, pelajar daripada tiga kategori itu yang berhasrat untuk kembali ke kampus perlu membuat permohonan secara dalam talian menerusi entry.ia.unimas.my.

Sementara, para pelajar selain daripada kategori yang dibenarkan diminta meneruskan pengajian secara dalam talian.

“Pelajar dari Semenanjung, Sabah dan Labuan pula diwajibkan untuk menjalani proses kuarantin di Pusat Kuarantin serta menjalani ujian saringan Covid-19.

“Semua kos termasuk kos perjalanan, kuarantin dan ujian saringan Covid-19 perlu ditanggung sepenuhnya oleh pelajar,” kata jawatankausa berkenaan dalam  kenyataan berkenaan.

“Pelajar-pelajaar Unimas selain daripada kategori yang dibenarkan untuk kembali ke kampus dimohon untuk meneruskan pengajian secara dalam talian,” katanya.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini  menjangkakan penuntut universiti dijadual kembali ke kampus seawal-awalnya pada Mac ini.