Sunday, December 5, 2021

Lima kes baharu positif Covid-19 di Sarawak hari ini

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak merekodkan lima kes baharu positif Covid-19 hari ini dengan dua kes masing-masing dikesan di Daerah Kuching dan Miri, manakala satu kes di Sibu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Sarawak meningkat kepada 1,166 kes.

“Satu kes baharu di Kuching adalah jangkitan tempatan melibatkan lelaki warga Sarawak yang mempunyai kontak rapat dengan Kluster Stutong serta tiada sejarah perjalanan keluar dari negeri ini.

“Sementara satu lagi kes dikategorikan Import C melibatkan lelaki tempatan yang datang ke Kuching menggunakan penerbangan dari Miri dan pernah mengunjungi Kuala Lumpur pada 14 hingga 20 Disember lalu, namun telah menjalani arahan kuarantin selama 14 hari sekembalinya dari Kuala Lumpur,” kata JPBNS dalam kenyataan, hari ini.

Mengenai dua kes Import B di Daerah Miri, JPBNS berkata ia melibatkan lelaki warga Sarawak dari Labuan pada 24 Disember lalu dan telah disahkan positif pada saringan kedua pada 1 Januari lalu.

“Kes 1,165 iaitu rakan kepada kes 1,155, 1,156 dan 1,157 adalah lelaki warga Pahang yang disaring bagi individu yang baru datang dari Semenanjung, kes telah diarahkan
menjalani kuarantin di rumah sewa di Taman Jelita, Miri dan didapati positif 5 Januari lalu.

“Kes di Sibu juga dikategorikan Import B, ia merupakan wanita warga Sarawak yang balik ke Sibu dari Johor, kes bersama dua orang anaknya telah diberikan arahan kuarantin di rumah untuk menjalani kuarantin selama 14 hari dan telah dipakaikan gelang.

“Ujian saringan yang dijalankan pada 4 Januari lalu didapati positif melalui ujian rT-PCR, manakala anak-anaknya adalah negatif bagi ujian yang sama,” ujar JPBNS.

Mengulas lanjut, JPBNS berkata dua kes baharu telah pulih dan dibenarkan discaj pada dari Hospital Umum Sarawak semalam menjadikan jumlah yang telah pulih seramai 1,081 orang atau 92.71 peratus.

“Sejumlah tujuh daerah di Sarawak kini berstatus kuning iaitu Kuching, Miri, Sibu, Bintulu, Meradong, Bukit Mabong dan Lawas dengan jumlah keseluruhan 27 kes jangkitan tempatan, manakala 33 buah daerah yang lain kekal status hijau.

“Sementara kluster Covid-19 yang masih aktif di Sarawak kekal tiga iaitu Kluster Bah Sayap di Miri, Kluster Stutong di Kuching dan Kluster Madong di Meradong serta tiada kluster baharu dilaporkan,” tambah JPBNS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru