KUCHING: Operasi Carilamat hari kedua mangsa hilang di perairan Santubong diperkuatkan dengan penglibatan pasukan Unit Storm dan Unit K9 daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, kesemua anggota terbabit telah digerakkan ke lokasi seawal jam 8.30 pagi dengan kekuatan seramai lapan anggota dan dua anjing pengesan.

Terdahulu, mangsa dikenali Samsudin Beden, 59, dilaporkan hilang selepas keluar rumah pada pagi 3 Januari lalu untuk menghantar bot dari Santubong ke Kampung Lundu.

Hasil operasi hari pertama yang diketuai oleh Angkatan Pertahanan Maritim Malaysia beberapa agensi lain berjaya menemui bot serta barangan lain termasuk tong ikan dan beg dipercayai milik mangsa di kawasan perairan berhampiran Damai Beach Resort.