INDIA: Golongan petani yang ketika ini sedang melancarkan tunjuk perasaan secara besar-besaran menentang satu rang undang-undang pertanian baharu kini dapat bantuan dari media sosial pula iaitu melalui Twitter.

Menurut Jakarta Post, Bhavjit Singh seorang penyokong tegar yang bersimpati dengan nasib para petani ini membuka akaun @Tractor2twitr Twitter pada November lepas.

Bhavjit, yang merupakan pakar teknologi maklumat bersama-sama rakan telah berkunjung ke tapak protes di lebuh raya yang menyambung wilayah Haryana dan Delhi.

Dia menyertai penunjuk perasaan ini dengan membawa dua telefon pintar. Akaun @Tractor2twitr itu sudah mempunyai lebih 23,000 pengikut dan mempromosikan mesej mereka dengan menekan satu chashtag sehari.

Baru-baru ini #FarmersDyingModiEnjoying, yang diilhamkan oleh @Tractor2twitr, adalah antara yang teratas dalam Twitter India.

Bhavjit juga tidak bersendirian dalam perjuangannya, kira-kira 13,000 kilometer (8,000 batu) di Houston, Amerika Syarikat, Baljinder Singh juga gigih membantu menyebarkan akaun ini.

Pemilik beberapa rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven di AS memberitahu biarpun dia dan Bhavjit, berkongsi nama Sikh namun mereka tiada kaitan saudara.

Sejak beberapa minggu yang lalu @Tractor2twitr disertai oleh sebuah kesatuan yang dikenali sebagai Farmers Unity Front (Kisan Ekta Morcha), yang memiliki pelbagai jenis akaun di media sosial antaranya Twitter, Facebook, YouTube, WhatsApp dan Snapchat.