KUCHING: Pasukan Udara Angkatan Pertahanan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak berjaya menemui satu objek dipercayai tong ikan milik mangsa hilang, Samsudin Beden sekitar jam 2 petang.

Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang mengesahkan objek terbabit pada jarak lima batu nautika daripada pulau Sempadi.

Susulan itu katanya, pasukan KM Mengalum telah diatur gerak untuk membantu mengesan lebih lanjut penemuan tersebut dan dijangka tiba ke lokasi dengan mengambil masa sekitar satu jam perjalanan.

“Objek yang ditemui merupakan tong ikan dipercayai milik mangsa.

“Untuk makluman pulau Sempadi daripada kawasan pantai Santubong berjarak 20 batu nautika, jadi untuk ke sana mengambil masa sekitar 1 jam perjalanan dan pasukan dijangka tiba di lokasi sekitar jam 3.30 petang,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang media di Jeti Perikanan Sarawak Santubong semalam.

Sementara itu Ketua Zon 1, PgKB I Henderi Ardimansyah berkata bomba turut mengerahkan pasukan khidmat dron ke lokasi untuk membantu pencarian mangsa berhampiran kawasan objek ditemui.

“Pasukan dron telah diatur gerak dan kini dalam perjalanan.

“Radius pencarian akan dilakukan dalam 200 ke 300 meter dari titik penemuan di mana bot tersebut dijumpai,” katanya.

Terdahulu, operasi Carilamat mangsa pada awalnya menemui bot milik mangsa terdampar di kawasan paya bakau berhampiran Damai Beach Resort.