KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Singapura memaklumkan kepada Parlimen mereka bahawa sebab utama projek HSR-KL Singapura dibatalkan ialah sebab Kerajaan Malaysia tidak  mahu tender-tender kontraktor serta pemilihan teknologi tren dibuat secara tender terbuka dan dinilai serta dipantau bersama Singapura, kata Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahukan kemampuan memilih secara langsung vendor untuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) tanpa sebarang penglibatan Singapura, dakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin.

Kata beliau perkara itu bercanggah dengan visi asal projek berkenaan iaitu kedua-dua negara bertanggungjawab terhadap pembinaan landasan kereta api berkenaan bagi mencegah kemungkinan penyalahgunaan atau penyelewengan.

Najib memetik kenyataan Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung yang telah mencadangkan agar syarikat-syarikat aset disingkirkan seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua buah negara.

“Dulu bila saya usahakan projek ini, saya dengan sengaja mahu kedua-dua negara bertanggungjawab atas kejayaan projek tersebut supaya penyelewengan dapat dikurangkan atau dielakkan,” katanya dalam kenyataan melalui Facebooknya.

“Pendekatan kerajaan PN agak berbeza. Mereka mahu pilih kontraktor dan vendor projek secara terus tanpa campur tangan negara Singapura.

“Kerajaan Singapura juga tidak bersetuju dengan permintaan kerajaan PN untuk tren HSR berakhir di KLIA.

“Di sana penumpang akan tukar ke tren ERL milik syarikat YTL yang lajunya separuh dari kelajuan tren SHR untuk sambung perjalanan ke ibu kota.

“Saya rasa keputusan ini adalah sangat pelik sebab pengunjung dari Singapura mahu perjalanan terus ke bandar Kuala Lumpur dalam masa tersingkat – bukan mahu berkunjung ke KLIA lalu tukar ke tren yang lebih perlahan.

“Jika pengunjung dari Singapura mahu pergi ke lapangan terbang untuk menaiki kapal terbang, mereka akan pergi ke lapangan terbang di negara mereka.

“Buat apa mereka nak naik tren HSR untuk ke KLIA?,” soal beliau.

Selain itu, Najib juga berkata bahawa sebab lain Singapura menghentikan projek itu kerana tidak bersetuju dengan dua permintaan kerajaan PN, dan ia bukannya disebabkan COVID-19.

Ini sekali gus menyebabkan Malaysia kini harus membayar pampasan sebanyak RM1 bilion kepada Singapura, katanya.