BAITULMUQADDIS: Ribuan rakyat Israel sekali lagi berkumpul beramai-ramai menuntut agar Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, meletak jawatannya selepas dia didakwa atas tuduhan rasuah dan kegagalannya menangani pandemik Covid-19.

Orang ramai membawa sepanduk bertulis “Pergi” dan “Semua orang sama di mata undang-undang”, dan berkumpul di Medan Jerusalem berdekatan kediaman rasmi Netanyahu.

Menurut Japan Today, mereka berkumpul di tapak itu sejak beberapa bulan lalu menuntut Netanyahu meletak jawatannya.

Netanyahu didakwa melakukan penipuan, pecah amanah dan menerima rasuah dalam tiga kes yang melibatkan rakan jutawan dan hartawan media.

Kesemua tuduhan itu bagaimanapun dinafikan olehnya. Kumpulan penunjuk perasaan ini menyatakan Netanyahu tidak boleh memimpin negara ketika di bawah dakwaan rasuah.

Perbicaraan terhadapnya diadakan dalam beberapa minggu lagi. Para penunjuk perasaan juga menyatakan Netanyahu dan kerajaan pimpinannya tidak memberi respons yang baik dalam menangani pandemik Covid-19.

Israel mengadakan pilihan raya nasional keempat dalam tempoh dua tahun pada Mac ini yang kemungkinan memberi impak negatif kepada Netanyahu yang kini turut berhadapan dengan banyak pengkhianat di dalam Parti Likudnya.