KUALA LUMPUR: Keputusan Kerajaan membatalkan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur – Singapura (HSR) memerlukan ketelusan dan penjelasan sewajarnya, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tegasnya, keutamaan waktu ini ialah ketelusan dan akauntabiliti pihak kerajaan.

“Oleh kerana projek ini melibatkan dana awam, termasuk pembayaran pampasan kepada Singapura, Kerajaan Malaysia wajar tampil dan menjelaskan segala percanggahan dalam kenyataan yang dikeluarkan dan berhenti daripada terus mengelirukan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, penjelasan Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ya Kung di Parlimen Singapura semalam, 4 Januari ternyata sangat bercanggah dengan penjelasan yang dikemukakan oleh Datuk Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1 Jan 2021 bahawa projek tersebut tidak lagi berdaya maju untuk dilaksanakan kerana impak pandemik Covid-19.

“Apatah lagi, jelas beliau kurang dua bulan lalu, kerajaan persekutuan sangat bersungguh-sungguh ingin meneruskan projek mega ini yang dijangka dapat menjana kesan pengganda yang positif terhadap ekonomi negara dalam pernyataan Belanjawan 2021.

“Perubahan mendadak dalam keputusan berkaitan projek berimpak tinggi seperti ini serta ketidaktelusan Kerajaan tentang pelbagai aspek, termasuk sebab sebenar dan jumlah pampasan yang mesti dibayar oleh Malaysia telah menyusutkan kewibawaan Kerajaan,” katanya lagi.

Katanya, semua ini terus menghakis keyakinan pelabur luar terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih.

“Tambahan pula, implikasi dari pembatalan HSR bermakna segala perancangan pembangunan bandar dan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi akan menerima impak negatif; termasuk hab pengangkutan bersepadu seperti Bandar Malaysia serta pembangunan bandar lain sepanjang laluan HSR,” katanya.

Katanya, jikalau projek ini diteruskan tanpa Singapura, ia tidak lagi strategik.

“Kerajaan nyata tidak mempunyai ‘an overarching strategy’ dalam melaksanakan projek mega sebegini. Dasar prasarana dan keputusan ekonomi kita nyata terpisah dari realiti integrasi ekonomi rentas sempadan yang selama ini kita perjuangkan melalui pelbagai kerjasama ekonomi serantau,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.