TANJUNG MANIS: Seorang lelaki berusia 65 tahun dipercayai hilang pada petang Isnin, ditemui semula pada pagi tadi dalam Operasi Carilamat (SAR) yang dilakukan sepasukan Bomba dan penduduk Kampung Seredeng.

Mangsa ditemui berjalan dalam keadaan lemah pada jarak 800 meter dari Pusat Kawalan iaitu tidak jauh dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seredeng .

“Terdahulu pada Isnin, pihak Bomba Tanjung Manis menerima panggilan memaklumkan bahawa mangsa masuk ke dalam hutan sekitar jam 3.00 petang untuk mencari buluh di belakang rumah mangsa tidak jauh dari SK Serdeng dan tidak pulang ke rumah.

“Operasi SAR segera dimulakan diketuai PBK II Awang Busrah Awang Mustapa bersama sembilan anggota dan diteruskan pada Selasa bersama penduduk kampung di lokasi terakhir mangsa dilihat,”katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya lagi radius pencarian dimulakan pada jarak 1.5 kilometer dari tempat kejadian dan seterusnya telah menemui mangsa yang dikenali Mohamad Rosli pada jam 8.15 pagi.

“Mangsa didapati lemah namun masih boleh berjalan dan mangsa segera dihantar ke Klinik Tanjung Manis untuk rawatan selanjutnya.

“Operasi sepenuhnya tamat pada jam 9.00 pagi,”ujarnya.