KUCHING: Dua pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) akan ditempatkan di semua 12 pangkalan feri di negeri ini. 

Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata ini bagi memastikan operator atau pengendali feri mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang feri beroperasi.

“Susulan dari tragedi yang berlaku di Pangkalan Feri Triso yang berlaku pada 1 Januari 2021, kementerian telah mengadakan mesyuarat bersama dengan Pengarah JKR Datu Ir. Zuraimi Sabki serta wakil dari Lembaga Sungai Sarawak (LSS) untuk mencari penyelesaian jangka panjang kepada kelemahan perkhidmatan feri di negeri ini.

“Pada masa sama berusaha menambah baik dan memperketatkan lagi penguatkuasaan SOP sedia ada.

“Kita memang sudah mempunyai SOP sejak perkhidmatan feri mula diperkenalkan di negeri ini, cuma di peringkat awal kemudahan ini dikendalikan oleh JKR sebelum ia diswastakan kepada pengendali di seluruh negeri,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pada Isnin. 

Ketika ini terdapat 12 pengendali feri di Sarawak, tujuh daripadanya berada di laluan Jalan Pesisir.

Selain menempatkan pegawai-pegawai JKR di semua pangkalan feri, antara langkah lain yang diadakan ialah meletakkan papan tanda tertera ‘Anda Sekarang Berada di Kawasan Feri Beroperasi’ didirikan kira-kira 100 meter sebelum melalui pagar memasuki zon operasi feri.

Selain itu, penjualan tiket perkhidmatan feri akan dilakukan di darat sebelum kenderaan memasuki feri dan hanya pemandu sahaja dibenarkan berada di dalam kenderaan ketika di dalam feri manakala semua penumpang harus ditempatkan di tempat duduk khas yang disediakan dengan memakai jaket keselamatan. 

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Datu Safri Zainudin, jurutera-jurutera JKR dari semua bahagian serta wakil dari LSS.