KUALA LUMPUR:  Akhirnya Tan Sri Annuar Musa dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta -merta hari ini.

Sumber UMNO seperti dipetik Astro Awani memaklumkan, keputusan itu dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu mesyuarat di sini pada Selasa.

Annuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini menegaskan, beliau sedia dipecat daripada parti itu sekiranya kritikannya berkaitan isu penyatuan Melayu dan Islam tidak disenangi ahli serta pemimpin akar umbi parti berkenaan.

Semalam, Annuar menyatakan beliau sedia dipecat dalam memperjuangkan kerjasama antara parti Melayu dan Islam dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Annuar membuat kenyataan itu selepas Ketua Pemuda UMNO Pasir Puteh Muhammad Saifullah Ali mendesak pimpinan tertinggi Umno memecat Annuar daripada parti itu.

“Adakah kerana saya bercakap berdasarkan kehendak parti, maka saya dituduh membelakangkan parti dan memihak kepada orang lain?,” kata beliau seperti dipetik media.

“Adakah kerana ‘perbezaan’ pandangan antara saya dengan pucuk pimpinan parti, maka ada ‘akar umbi’ kemukakan usul supaya saya dipecat?

“Kalau nak pecat, silakan. (Kalau akar umbi) nak pertahankan mereka yang nak bawa parti sokong DAP dan Anwar, (pun) silakan,” demikian tegas Annuar.

Media yang memetik sumber melaporkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan akan menggantikan Annuar sebagai Setiausaha Agung BN.