KETIKA projek HSR dicadangkan pada tahun 2010 sebagai salah satu inisiatif Program Transformasi Ekonomi (Economic Transformation Programme) negara, tujuan utamanya adalah untuk meningkatkan kesalinghubungan dan memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Singapura.

Projek HSR dijangka menjadi pemangkin dalam menggalakkan pelaburan, perdagangan, pelancongan dan aktiviti sosioekonomi bagi kedua-dua negara, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan serta membolehkan Malaysia menjadi sebuah ekonomi yang berasaskan inovasi. Perjanjian Dua Hala yang ditandatangani dengan Singapura pada 13 Disember 2016  menekankan hasrat untuk menggalakkan integrasi ekonomi yang lebih rapat antara dua negara.

Malaysia berhasrat untuk mencontohi kejayaan projek kereta api laju di beberapa buah negara seperti Tokyo-Osaka Shinkansen dan Taipei-Kaohsiung HSR, yang terbukti menjadi pemangkin pembangunan ekonomi Jepun dan Taiwan. Malah HSR juga akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon berikutan penurunan bilangan penumpang udara antara Kuala Lumpur dan Singapura – yang merupakan antara laluan udara tersibuk di dunia. Pada masa yang sama, ia juga dijangka mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya.

Namun, pandemik COVID-19 telah mengubah segala-galanya. Pandemik ini telah memberikan cabaran amat besar kepada aspek kesihatan dan ekonomi yang belum pernah kita hadapi. Tiada siapa yang dapat menjangka pandemik ini dan kesan teruknya ke atas ekonomi Malaysia dan seluruh dunia. Keadaan ini telah memaksa kerajaan enilai semula projek HSR tersebut.

Projek ini telah ditangguhkan pada Mei 2018 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 berikutan kajian semula terhadap beberapa komitmen pelaburan utama kerajaan. Kerajaan ketika itu telah mengkaji semula pelaksanaan kesemua projek mega seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Malaysia Vision Valley dan MRT3.

Kemunculan COVID-19 telah memaksa kerajaan mencari jalan untuk mengurangkan kos beberapa projek mega serta mengenal pasti strategi bagi memulihkan ekonomi negara pasca COVID-19.

Perkembangan ini menyebabkan syarat asal Perjanjian Dua Hala yang dimeterai pada tahun 2016, tidak lagi berdaya maju bagi Malaysia. Kita terpaksa meneliti semula keseluruhan struktur projek dan model perniagaan yang termaktub dalam perjanjian tersebut.

Pada bulan Mei 2020, pihak Singapura telah bersetuju untuk memberikan penangguhan terakhir bagi melaksana projek ini sehingga akhir tahun 2020. Kita telah menggunakan ruang ini untuk mengkaji semula keseluruhan projek ini. Kajian itu termasuklah struktur projek, model perniagaan (business model), reka bentuk infrastruktur dan sistem.

Hasil daripada kajian semula yang dijalankan, kita telah mencadangkan struktur baharu yang pada pandangan Malaysia bukan sahaja lebih kemas, malah model HSR yang dicadangkan itu digunakan secara meluas di seluruh dunia, antaranya di Eropah, UK, Jepun dan Korea Selatan.

Cadangan struktur projek baharu itu juga mengelakkan kerajaan daripada memberikan jaminan berjumlah RM60 bilion selama 30 tahun. Di samping itu, ia juga memberikan kita lebih banyak fleksibiliti dalam membiayai projek ini. Selain daripada itu, kita juga telah mencadangkan beberapa perubahan lain. Ini termasuklah perubahan kepada jajaran dan reka bentuk stesen yang kesemuanya akan mengurangkan perbelanjaan kira-kira 30 peratus. Kesemua cadangan di atas dapat mengurangkan kos dan pada masa yang sama mengekalkan faedah projek.

Satu lagi perkara yang menjadi pertimbangan ialah kemungkinan memulakan pembinaan projek ini dua tahun lebih awal. Ini boleh membantu dalam mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia pasca COVID khususnya sektor pembinaan. Ini mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi serta peluang perniagaan kepada perusahaan kecil, sederhana dan berskala besar pada waktu yang genting ini.

Kerajaan juga mencadangkan perubahan yang akan membolehkan HSR dihubungkan dan diintegrasi dengan rangkaian pengangkutan Malaysia sedia ada dengan lebih berkesan. Beberapa perbincangan yang intensif pada peringkat teknikal dan peringkat menteri telah diadakan sepanjang enam bulan yang lalu. Perdana Menteri kita dan Perdana Menteri Singapura juga telah mengadakan sidang video pada 2 Disember 2020 lalu. Malangnya, kita gagal mencapai kata sepakat.

Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam perbincangan dua hala sejak enam bulan lepas, ingin saya tegaskan bahawa kami telah melakukan yang terbaik demi menjaga kepentingan negara. Walau bagaimanapun, saya ingin berkongsi dengan semua bahawa perbincangan antara kedua negara telah berlangsung dalam suasana mesra dan membina. Hubungan Malaysia dan Singapura adalah amat rapat dan kedua-dua negara berhasrat untuk mengukuhkan lagi hubungan akrab ini.

Sesuai dengan hasrat tersebut, kita akan terus mengadakan perbincangan untuk mempertingkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua negara untuk manfaat bersama. Walaupun perjanjian dua hala ini telah luput, Malaysia dan Singapura akan terus berkerjasama rapat dalam mengukuhkan integrasi rentas sempadan bagi memastikan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi yang mampan di kedua-dua negara. Kemungkinan untuk menghubungkan kedua-dua negara melalui kesalinghubungan berkelajuan tinggi pada masa hadapan akan terus diterokai. Walaupun hasrat ini tidak tercapai sekarang, mungkin satu masa nanti.

Antara perkara yang banyak dibangkitkan oleh pelbagai pihak ialah pampasan. Walaupun saya amat berkeinginan untuk berkongsi perinciannya, ianya tidak dapat dilakukan kerana jumlahnya belum dimuktamadkan lagi. Sehubungan ini, saya ingin menegaskan bahawa pampasan tersebut bukanlah bersifat punitif, tetapi adalah untuk membayar semula kos tertentu projek yang telah dibelanjakan Singapura.

Pihak kita sedang menunggu butiran kos tersebut daripada Singapura, dan sebaik sahaja diterima, ia akan diteliti sebelum disahkan. Jenis-jenis tuntutan yang dibenarkan telahpun dipersetujui bersama.

Namun begitu, jumlah pampasan tidak boleh didedahkan kerana di bawah Perjanjian Dua Hala, kedua-dua negara terikat dengan klausa kerahsiaan. Walau bagaimanapun, saya dan pasukan akan berbincang dengan pihak Singapura untuk mendapat persetujuan bagi berkongsi maklumat mengenai jumlah pampasan tersebut setelah ia dimuktamadkan.

Justeru itu, sebarang angka mengenai pampasan yang disebutkan oleh  mana-mana pihak merupakan spekulasi semata-mata. Adakah projek keretapi laju KL-Singapura akan digantikan dengan projek keretapi laju KL-JB?

Kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci bagi menentukan hala tuju seterusnya. Pada masa ini, apa-apa spekulasi mengenai projek keretapi laju KL-JB hanyalah spekulasi.

DATO’ SRI MUSTAPA MOHAMED  ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)