MASA begitu pantas berlalu. Tahun 2020 sudah berlalu dan berakhir. Untuk setiap permulaan bermula dengan pengakhiran sesuatu. Begitu juga dengan tahun baharu. Tahun 2021 bermula apabila berakhirnya tahun 2020. Hari ini kita sudah empat hari mengharungi tahun 2021. Tahun 2020 seperti tahun-tahun sebelumnya pasti telah memahatkan banyak kenangan dalam memori dan fikiran kita.

Sebahagian daripada kisah dan kejadian pada 2020 memang mahu kita lupakan manakala sebahagian lagi akan terus kekal segar dalam ingatan sebagai iktibar atau kenangan manis.

Kita mahu melupakan kenangan dan kejadian tertentu sebagai satu katarsis atau pembersihan jiwa bagi menenangkan fikiran dan mendamaikan kalbu ketika kita mahu melangkah ke hadapan. Kita perlu melangkah ke hadapan dan tidak terus terbelenggu dan terkongkong dalam lingkaran lepas.

Kita perlu melangkah ke tahun 2021 dengan penuh semangat, azam baharu dan harapan baharu, dan bukannya dibebankan dengan kepiluan dan kesedihan. Apa-apa yang dibawa dan diisi dalam halaman tahun baharu banyak bergantung kepada apa-apa yang akan kita bawa dan isi dalam tahun baharu ini.

Masa silam yang melemahkan semangat dan motivasi harus ditinggalkan. Mengapa harus terus dibelenggu kesedihan yang sudah berlalu, sedangkan kehidupan masa depan adalah lebih penting.

Masa yang sudah berlalu tidak lagi dapat diubah walau masa lalu dan tahun lalu turut mencorak-warnakan kehidupan kita pada tahun ini dan tahun-tahun berikutnya.
Kata mantan Presiden Amerika Syarikat: “I like the dreams of the future better than the history of the past.” Maksudnya, beliau lebih berminat dengan impian masa depan daripada sejarah masa silam.

Jangan bawa luka tahun 2020 ke tahun baharu, benamkannya dalam lipatan ingatan.
Meskipun 2020 disifatkan sebagai tahun annus horribilis, iaitu tahun malapetaka dan derita, tetapi pasti ada sisi positif yang dapat kita jadikan kisah yang dijadikan motivasi dan pengajaran untuk 2021. Siapa tahu 2021 akan lebih baik daripada 2020? Tahun 2021 harus menjadi annus mirabilis, tahun yang cemerlang dan penuh harapan untuk kita.

Menurut zodiak Cina, tahun ini ialah tahun lembu. Lembu dikatakan secara semula jadi adalah sederhana, pesakit, eksekutif, dan pada masa yang sama sangat gigih dan kuat. Namun, dari semasa ke semasa ia bertindak secara eksentrik, terlalu agresif, dan cepat kehilangan kendali diri.

Biarlah kita semua melakarkan bab dan buku baharu 2021 yang lebih indah. Buku tahun 2020 sudah pun ditulis. dan untuk tahun 2021, ada lebih 360 halaman lagi untuk kita tulis. Meminjam kata-kata Edith Lovejoy Pierce: “Kita akan membuka halaman buku.

Halamannya kosong. Kita akan memasukkan kata di halaman buku itu. Buku itu bernama ‘peluang’ dan bab pertama ialah ‘Hari Tahun Baharu.’

Semoga pada tahun 2021 ini kehidupan dan kerjaya kita akan lebih baik, dan dunia akan membaik.

Memadai luka dan derita tersebut menjadi pengajaran untuk lebih baik ke hadapan. Sesungguhnya, harapan dan keinginan yang tidak tertunai pada 2021 dapat sahaja tertunda dan dibawa ke tahun 2021.

Meskipun anda mungkin gagal pada 2020, jangan sampai kegagalan itu mematikan semangat anda untuk bangkit dan terus hidup. Kalaupun anda tersungkur pada 2020, jangan sampai peristiwa itu menyebabkan anda mati akal. Yang lebih penting adalah bagaimana anda bangkit daripada kejatuhan itu. Harus terus semarakkan semangat agar terus membara bagi menghadapi tahun 2021 yang dijangka tidak kurang getir dan mencabar.

Menyambut tahun baharu, banyak orang punya resolusi, doa, dan harapan baharu. Pelbagai impian, harapan dan azam disemat di hati. Bagi sebahagian besar kita, ia sekadar tinggal azam dan harapan ketika kita mengharungi tahun baharu. Kita hanya hangat-hangat tahi ayam untuk melakukan sesuatu.

Kita mudah patah semangat dan kecundang dibadai cabaran. Kita tidak cukup komited dan serius untuk mengubah kehidupan agar terus lebih berjaya dan lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Kita tentu mahu tahun 2021 lebih baik daripada tahun 2020 yang getir, sukar dan mencabar. Kita menyimpan azam dan keinginan tinggi agar 2021 lebih aman, bahagia, dan makmur baik dalam kehidupan mahupun kerjaya.

Memiliki resolusi atau azam setiap tahun memang penting bagi sebahagian orang agar dalam setahun ke depan dapat mengetahui apa-apa tujuan hidupnya agar lebih fokus untuk menggapainya.

Setiap orang berharap segala sesuatu yang belum tercapai pada tahun yang baru berlalu dapat diraih pada tahun ini. Dengan begitu kita akan berasa memiliki tujuan untuk satu tahun ke depan. Bagi memungkinkan kita mencapai impian dan kejayaan pada 2021, kita perlu fokus.

Amalkan sikap positif dan punya rasa ghairah terhadap impian itu sepanjang tahun 2021. Jangan hanya ghairah dan membara semangatnya pada minggu-minggu awal, tetapi semangat luntur dan lemah longlai untuk bulan-bulan seterusnya.

Saat tahun baharu, doa dan harapan tentu tak hanya ditujukan kepada diri sendiri atau keluarga tetapi juga orang lain, termasuk sahabat dan rakan sekerja. Dengan begitu, harapan dan doa baik itu akan kembali pada diri sendiri.

Tahun ini harus lebih baik daripada tahun hadapan. Keazaman kental dengan komitmen jitu akan memungkinkan kita melangkah lebih jauh dalam kehidupan, kerjaya dan hubungan.

Kita mahu terus maju, makmur, sihat dan bahagia. Kita mahu ekonomi kita dan negara semakin sihat. Kita juga mahu ancaman pandemik Covid-19 yang menyebabkan kita mengamalkan kelaziman baharu berakhir atau sekurang-kurangnya mereda.

Cukuplah hampir setahun kita memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal. Kita telah kehilangan banyak masa, dengan sebahagiannya terkurung di dalam rumah pada tahun lalu. Biarlah tahun ini kita hidup dalam keadaan normal seperti sebelum tahun 2020.
Kita perlu tabah dan kuatkan semangat untuk menghadapi 2021.

Siapa tahu berkat semangat membara dan harapan baharu, tahun 2021 benar-benar lebih baik daripada 2020 — tahun yang sepatutnya negara kita mencapai status sebagai negara maju seperti yang disasarkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tetapi mengapa kita gagal mencapai matlamat itu? Di mana silapnya?

Adakah kerana kepemimpinan politik kita tidak berpegang kepada prinsip tadbir urus yang baik?

Atau kerana kita asyik berkonflik dalam berpolitik sehingga melupakan agenda utama mengapa kita diberi mandat oleh rakyat untuk memimpin?

Memang wajar kalau ada yang bersikap skeptis dan sinis, sehingga menyoal, apa yang menyebabkan anda fikir 2021 akan lebih baik ketika landskap politik negara tidak menentu.

Selamat Menyambut Tahun 2021.