KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia, anak lelakinya serta seorang pelajar ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Indonesia (Polri).

Ketiga-tiga suspek ditahan berhubung siasatan menghina lagu Negaraku dan Indonesia Raya

Sebelum ini tular video dimuat naik individu di ruang komen laman Youtube My Asean, menghina negara Indonesia melalui parodi lagu kebangsaan negara itu yang disunting.

Suspek berusia 40 tahun ditahan bersama-sama anaknya dalam serbuan di Lahad Datu, Sabah 28 Disember lalu.

Manakala menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed, suspek ketiga pula ditahan pihak berkuasa republik tersebut di Cianjur, Jawa Barat pada 31 Disember lalu sekitar 8 malam.

Turut dirampas di Cianjur satu telefon bimbit, satu kad sim dan komputer.

Laporan media tempatan menyebut Ketua Agensi Siasatan Jenayah Polis Indonesia Listyo Sigit Prabowo seperti dipetik media tempatan menyatakan, Suspek dikenali sebagai MDF ditahan 8 malam pada Jumaat di rumah, di Cianjur, Jawa Barat.

PDRM menerima laporan polis terhadap pemilik akaun YouTube MY Asean yang memuat naik video penghinaan lagu kebangsaan Indonesia serta pemilik akaun YouTube Asean Channel ID yang menghina lagu Negaraku.

Difahamkan, video di kedua-dua Youtube tersebut dipadam, tetapi sempat dimuat naik di beberapa aplikasi media sosial lain dan ditularkan sehingga menimbulkan pelbagai reaksi negatif warga kedua-dua negara.

Sebelum ini, menurut Bernama, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, suspek video berkenaan yang menggunakan bendera Malaysia sebenarnya dilakukan oleh warga republik negara berkenaan sendiri dan bukan dilakukan warga di Malaysia.

Maklumat tersebut diperoleh hasil soal siasat terhadap seorang buruh warga Indonesia berusia lingkungan 40-an yang ditahan di Sabah.

Abdul Hamid seperti dilaporkan New Straits Times turut mengingatkan warga Malaysia agar menjauhi tindakan tercela yang dapat melukai perasaan warga negara jiran.