HARI ketiga tahun 2021 menyaksikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 global menuju  angka 85 juta.

Sehingga pagi Ahad, jumlah yang dijangkiti ialah 84,968,917.

Jumlah kematian sejak virus maut itu dikesan pada akhir tahun lalu pula ialah 1.84 juta.

Jumlah yang sembuh mencecah 60 juta.

Ia berikutan lebih ratusan ribu kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.

Data terbaharu Worldometers menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 20 juta kes.

AS turut mencatatkan jumlah kematian tertinggi apabila lebih 358,000 sudah direkodkan maut.

Ini diikuti India dengan 10.32 juta kes dengan lebih 149,000 kematian dan Brazil dengan 7.71 juta kes dan lebih 195,000 kematian.

Angka positif di Rusia kini melangkaui tiga juta kes, manakala negara yang melepasi angka dua juta kes ialah Perancis, United Kingdom (UK), Turki dan Itali.

Perancis yang berada di tangga kelima sudah merekodkan 2.64 juta kes, UK 2.59 juta kes, Turki 2.23 juta kes dan Itali 2.14 juta kes.

Sepanyol, Jerman, Colombia, Argentina, Mexico, Poland, Iran, Ukraine, Afrika Selatan dan Peru pula antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes positif.

Manakala Belanda, Indonesia, Belgium, Romania, Chile, Iraq, Kanada dan Bangladesh pula antara negara yang merekodkan angka lebih 500,000 kes.