Monday, December 5, 2022

Sudah-sudahlah berdendam dalam politik

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  “Sudah-sudahlah berdendam dan tumpukan segala usaha untuk memulihan ekonomi negara yang sangat tenat sekarang.”

Demikian kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan yang kesal dengan penamatan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Menurut beliau, Malaysia di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menandatangani perjanjian dengan Singapura pada Disember 2016 untuk membina bersama keretapi berkelajuan tinggi di antara Kuala Lumpur dengan Singapura yang akan memendekkan perjalanan kepada hanya 90 minit berbanding dengan empat jam dengan pengangkutan darat (kereta).

“Walau bagaimanapun setelah kerajaan bertukar tangan pada Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menggantung pembinaan ini dan bersetuju membayar ganti rugi kepada Singapura sebanyak RM45 juta dan dibayar pada Januari 2019. Penggantungan selama dua tahun ini sehingga Mei 2020.

“Dengan pengambil alihan kerajaan kepada Perikatan Nasional (PN), ia sekali lagi di tangguh sehingga Disember 31, 2020.

“Hari ini (semalam), kita dikejutkan dengan pembatalan terus projek ini oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Disebabkan kerajaan Singapura telah melaburkan banyak modal didalam projek ini dan terpaksa membayar ganti rugi bagi kontraktor-kontraktor dan konsultan-konsultan di sebelah mereka, adalah dijangkakan ganti rugi yang terpaksa dibayar oleh Malaysia akan melambung tinggi. Dijangkakan ianya sehingga RM750 juta,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya.

Jelasnya, di bawah kerajaan BN, projek ini dijangkakan akan memberi impak ekonomi yang sangat tinggi kepada Malaysia terutama dalam pembangunan Bandar Malaysia di tapak pengkalan terbang Sungai Besi.

Soalnya, adakah pembangunan Bandar Malaysia juga akan ditamatkan?

“Ini adalah salah satu pembaziran oleh kerajaan di dalam pentadbiran negara. Sudah berberapa kali kerajaan terpaksa membayar gantirugi dengan menamatkan perojek-projek yang dikatakan projek ‘kroni’ BN,” katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong dalam kenyataan bersama mengumumkan bahawa projek HSR telah ditamatkan apabila kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu berakhir pada 31 Dis 2020.

Dikatakan Kerajaan Malaysia telah mencadangkan beberapa perubahan terhadap projek HSR itu termasuk dari segi struktur, penjajaran dan reka bentuk stesennya susulan kesan pandemik Covid-19 ke atas ekonomi negara dengan mengadakan beberapa perbincangan mengenai kedudukan masing-masing.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan itu dan oleh yang demikian, Perjanjian Dua Hala membabitkan projek tersebut telah luput seperti dijadualkan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru