Friday, August 19, 2022

Demak Laut punyai kawasan  menarik untuk dikunjungi – Dr Hazland

Secara Rawak

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland  Abang Hipni menjelaskan terdapat banyak kawasan di DUN Demak Laut yang  menarik dan boleh dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara. 

Ada di kalangan tempat ini telah popular kepada pelancong sebelum ini seperti Taman Negara Bako dan Pulau Lakei yang mempamerkan keindahan alam semulajadi dan beberapa lagi aktiviti lain yang boleh menarik kehadiran pelancong. 

“Di kawasan DUN Demak Laut, sebenarnya kita mempunyai banyak produk pelancongan yang bermula daripada Kampung Bako sehinggalah ke Taman Negara Bako, Pulau Lakir, Sungai Bako, Kampung Nelayan Bako, ‘Bird Watching’. 

“Selepas itu, terus ke Kampung Selabat dan Pasir Putih yang mempunyai pantai dan hampir-hampir serupa dengan Sepang Gold Cost. 

“Dan, inshaAllah kita mempunyai perancangan yang besar di situ. 

“Di Kampung Muara Tebas pula mempunyai Tekong yang berusia 200 lebih tahun dan banyak sejarah, kampung nelayan dan produk-produk dan restoran makanan laut. 

“Seterusnya ke seberang di Tanjong Embang yang kawasannya seperti legun yang sangat cantik dan boleh melihat matahari terbit dan terbenam dengan di situ akan ada perancangan untuk membina tempat peranginan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas bersama dengan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Dato’ Sri Nancy Shukri dan rombongan melawat kawasan tarikan pelancongan di Kampung Muara Tebas pada Jumaat. 

Tambah Dr Hazland lagi, pelancongan tempatan akan lebih meriah apabila siapnya Lebuh Raya Pan Borneo nanti yang boleh membawa lebih ramai pelancongan tempatan dari seluruh Sarawak untuk datang ke sini dengan menggunakan pengangkutan darat. 

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru