Ketika kita melangkah ke hari pertama tahun baharu pagi ini, Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di seluruh dunia telah  mencecah angka 83.77  juta.

Ia berikutan lebih ratusan ribu kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.

Jumlah kematian pula sudah mencecah 1.82 juta kes.

Data terbaharu Worldometers  turut menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dari segi angka jangkitan dan kematian.

Jumlah jangkitan sejak virus maut itu dikesan di Wuhan, China pada akhir tahun lalu adalah lebih 20 juta kes manakala kematian pula lebih 353,000 kes.

Ini diikuti India dengan 10.28  juta kes dengan lebih 149,000 kematian  dan Brazil dengan 7.67 juta  dengan lebih 194,000 kes kematian.

Angka positif di Rusia kini melangkaui 3 juta kes dengan lebih 57,000 kematian.

Manakala  empat negara yang melepasi angka dua  juta kes ialah Perancis, United Kingdom, Turki dan Itali.

Sepanyol, Jerman, Colombia, Argentina, Mexico, Poland, Iran, Ukraine, Afrika Selatan dan Peru pula antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes positif.

Manakala Belanda, Indonesia, Belgium, Romania, Chile, Iraq, Kanada dan Bangladesh pula antara negara yang merekodkan angka lebih 500,000 kes.