Thursday, August 18, 2022

Program Celik Suri banteras kebakaran awal di rumah

Secara Rawak

KUCHING: Pemilihan suri rumah oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak dalam Program Celik Sedia Urus Risiko Isirumah (Celik Suri) adalah bertepatan dalam membanteras kebakaran dari awal lagi.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, suri rumah mempunyai banyak masa di rumah dan faktor 3L iaitu lupa, lalai dan leka sering berlaku di kalangan suri rumah sehingga boleh menyebabkan kebakaran.

“Keadaan ini mengingatkan saya kepada ibu saudara di kampung di mana suatu ketika beliau sedang merebus ubi dan meninggalkannya di dapur disebabkan ia memakan masa yang lama.

“Dalam masa yang sama, ada tetamu yang datang ke rumah dan terus pergi ke ruang tamu.

“Disebabkan terlalu lama ubi yang direbus kering airnya. Ini adalah satu perkara yang sebenarnya boleh menyebabkan kebakaran.

“Inilah yang menyebabkan kita leka dan lalai apabila merebus ubi kayu di dapur dan boleh menyebabkan berlakunya kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Tahun 2020 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPN) Negeri Sarawak di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia di Kuching pada Khamis.

Mengambil contoh di Bahagian Mukah, Balai Bomba dan Penyelamat hanya ada di Mukah dan Daro sahaja, manakala daerah-daerah lain seperti di Daerah Dalat, Igan dan Matu tidak ada.

Oleh itu, pencegahan awal kebakaran yang bermula dari rumah dan golongan sasarnya suri rumah adalah bertepatan sekiranya ketiadaan balai bomba.

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah menambah, pihaknya sangat menyokong inisiatif Celik Suri yang diperkenalkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Negeri Sarawak dalam usaha membanteras kebakaran awal di rumah.

“Kementerian memang menyokong sepenuhnya inisiatif Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Bagi tahun 2021, sekiranya mahu penglibatan pihak kementerian saya sangat mengalu-alukannya, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan,” tambahnya.

Dalam majlis itu, beliau telah merasmikan Program Celik Suri, Kalender JBPM Sarawak 2021 dan menyampaikan apreasiasi kepada Pegawai Bomba Wanita.

Hadir sama Pengarah JPBM Negeri Sarawak Khirudin Drahman@Hussaini, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohamad Fauzi Mohamat Kifli, Penguasa Kanan Bomba 1 Henderi Ardimansyah dan Pengurus Perhubungan Dalaman dan CSR PETROS Sally Sheriza Ahmad.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru