KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk enam pistol angin yang diimport dari luar negara, baru-baru ini.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak Herman Shah Abdullah berkata, cubaan menyeludup itu dilakukan dalam dua kes berasingan menerusi syarikat perkhidmatan penghantaran di Pusat Mel Kuching.

Katanya, kes pertama pada 24 Disember lalu berlaku sekitar jam 10 pagi apabila pegawai mereka membuat pemeriksaan ke atas bungkusan yang diimport dari luar negara.

“Hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas bungkusan itu, pegawai Kastam telah menemui dua pucuk pistol angin di mana pengimportannya perlu disertakan dengan suatu permit import yang dikeluarkan oleh atau bagi pihak Ketua Polis Negara, di bawah Akta Senjata 1960 selaras dengan Butiran 45, Jadual Ketiga, Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“Barangan tersebut telah dilabelkan sebagai RC Toy Spare Part bagi mengelirukan pegawai Kastam di Pusat Mel dan ia dihantar oleh pengeksport yang berada di Taiwan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Herman menambah, kes kedua yang berlaku pada 28 Disember di pusat yang sama di mana pegawai Kastam turut membuat pemeriksaan ke atas bungkusan yang diimport dari luar negara sekitar jam 9.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas bungkusan tersebut, pegawai Kastam telah menjumpai empat pucuk pistol angin di mana pengimportannya perlu disertakan dengan suatu permit import yang dikeluarkan oleh atau bagi pihak Ketua Polis Negara, dibawah Akta Senjata 1960 selaras dengan butiran 45, Jadual Ketiga, Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Jelasnya, pistol angin dalam kedua-dua kes itu diklasifikasikan sebagai senjata api dalam Seksyen 2, Akta Senjata 1960, diimport melalui Pusat Mel Kuching iaitu menerusi kiriman bungkusan dari luar negara.

“Barangan telah diikrar sebagai RC Toy Spare Part dipercayai untuk mengelirukan pihak berkuasa.

“Kedua-dua kes pengimportan barangan itu tertakluk kepada Butiran 45, Jadual Ketiga, Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 tanpa permit import yang sah disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barangan larangan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM50,000, amaun yang mana lebih besar, dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000, amaun yang mana lebih besar atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Sehubungan itu, Herman menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-80088-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

Katanya lagi, JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.