Sunday, August 14, 2022

Projek rakyat untuk manfat penduduk – ADUN Samariang

Secara Rawak

KUCHING: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang akan menerima manfaat daripada pelbagai Projek Rakyat yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, Projek Rakyat merupakan usaha dan agenda yang berterusan yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi membaik pulih dan terus menambah baik infrastruktur di kawasan Samariang.

Ujarnya, beberapa projek rakyat dengan jumlah keseluruhan lebih kurang RM3 juta diperuntukkan bagi menurap semula lorong-lorong di beberapa jalan di kawasan Samariang termasuklah pembinaan perparitan di Jalan Sultan Tengah.

“Petang ini saya menyerahkan tapak projek kepada kontraktor yang telah dipilih untuk melaksanakan projek-Projek Rakyat di kawasan saya yang bernilai lebih kurang RM3 juta.

“Antaranya projek jalan di Kampung Samariang Batu iaitu penurapan semula lorong-lorong di Jalan Kampung Samariang Batu, Kampung Samariang Pinggir dan juga di Jalan Bentara.

“Sistem perparitan di Jalan Sultan Tengah berdekatan dengan perkuburan Samariang juga dilulus dan akan dibina,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Pelan Projek Rakyat Kampung Samariang Batu bertempat di Masjid Nurul Khair, Kampung Samariang Batu pada Rabu.

Dalam pada itu, Datuk Sharifah Hasidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang memberitahu, Kerajaan Negeri melaksanakan projek-projek pembangunan fizikal dengan menggunakan dana sendiri.

“Kerajaan Sarawak telah mendapat banyak dana tambahan melalui lima peratus cukai jualan yang diusahakan oleh kerajaan negeri dan dengan dana kerajaan ini, pembangunan-pembangunan infrastruktur akan terus dilaksanakan termasuk di kawasan Samariang,” katanya lagi. 

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru