Sunday, May 22, 2022

Kementerian Kerja Raya capai KPI 99 peratus – Fadillah Yusof

Secara Rawak

KUCHING: Di sebalik cabaran pandemik Covid-19, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mencapai Indeks Prestasi Utama  (KPI) hampir 99 peratus dari segi program dan projek yang dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata apa sahaja program dan projek yang dilaksanakan kerajaan, ia bukan sahaja untuk kesejahteraan dan kemudahan rakyat, malah yang lebih utama untuk menggerakkan ekonomi negara kita.

“Dalam berdepan pandemik Covid-19 kita menghadapi cabaran, sektor pembinaan misalannya tidak dibenar beroperasi hampir sebulan kecuali bagi yang kritikal sahaja.

“Sehubungan itu, kita perlu membuat penyesuaian dan Alhamdulillah KKR berjaya mencapai KPI  berkenaan berkat komitmen semua pegawai dan kakitangan kementerian dah agensi,” katanya dalam wawancara Bicara Naratif di TV1 baru-baru ini.

Fadillah berkata, sektor pembinaan bukan sahaja menumpukan kepada penyediaan kemudahan infrastruktur berkualiti tetapi dijangka dapat menggerakkan ekonomi setempat dengan memberi manfaat kepada rantaian bekalan pembinaan merangkumi pemaju, golongan profesional, pengilang bahan binaan, penyedia logistik, kontraktor tempatan dan tenaga kerja tempatan.

Sehubungan itu, menerusi Belanjawan 2021, KKR telah mendapat peruntukan kira-kira RM7.35 bilion, katanya.

Selain daripada pembangunan projek infrastruktur mega, kerajaan juga telah memperuntukkan RM2.5 bilion untuk projek-projek bersaiz kecil dan sederhana bagi dimanfaatkan oleh kontraktor kelas G1-G4.

“Industri pembinaan merupakan pemangkin pembangunan sektor ekonomi lain berdasarkan kepada nilai penggandaan (multiplier effect) sebanyak 2.03 kali.

“Bila kita lihat jaringan keseluruhan rantaian perkhidmatan bukan saja kontraktor, pemaju,  tapi kalangan profesional pun dapat bahagian termasuk peguam, pegawai bank. Lebih daripada 100 rangkaian dapat manfaat secara langsung atau tidak langsung,” ujarnya.

Beliau juga memberitahu bahawa KKR telah menerima ratusan permohonan daripada Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seluruh negara.

Katanya, semua permohonan ini dikemukakan kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dengan kelulusan diberi berdasarkan keutamaan dengan mengimbangi antara keperluan, persekitaran dan kupayaan serta kemampuan kewangan negara.

Dari segi projek infra, katanya, banyak projek mega telah dilaksanakan oleh KKR.

“Bagi Semenanjung bertumpu kepada pengangkutan awam seperti LRT, MRT, ECRL, HSR dan sebagainya.

“Untuk Sabah dan Sarawak sudah tentunya Pan Borneo. Sabah bermula agak lewat berbanding Sarawak, sebab itulah pencapaiannya agak terkebelakang.

“Sarawak lebih awal dan sudah mencapai hampir 60 peratus berbanding Sabah lebih 30 peratus,” katanya.

Justeru, katanya,  KKR akan membawa Kementerian Kewangan dan EPU untuk berbincang dengan Kerajaan Sabah, apakah langkah kehadapan untuk KKR mempercepatkan Pan Borneo Sabah, khususnya fasa satu dan apakah kaedah yang boleh membantu mempercepatkan pelaksanaannya.

“Sabah dan Sarawak memerlukan banyak jaringan jalan raya, bukan sahaja untuk menghubungkan dalaman tetapi juga antara negeri, Sarawak ke Sabah dan ke Brunei.

“Akhirnya kena lihat juga keseluruhan Kalimantan, bila Indonesia mahu memindahkan pusat pentadbirannya ke Kalimantan, jaringan jalan lebih baik diperlukan di Borneo,” jelasnya.

Dari aspek penyelenggaraan jalan, turut menjelaskan bahawa Malaysia mempunyai Jalan Persekutuan yang menghubungkan antara negeri dan jalan negeri yang mana peruntukan juga disediakan Kerajaan Persekutuan untuk senggara jalan melalui peruntukan MARRIS yang diserah kepada negeri.

“KKR hanya menyelenggara Jalan Persekutuan termasuk Jalan Felda.

“Sudah tentu cabaran ialah jangka hayat sesuatu jalan, yang mana jangka hayatnya lima tahun.

“Oleh itu, hasrat KKR untuk menggunakan kontrak berdasarkan pencapaian (performance based contract). Bermakna sebelum jalan rosak, kita kena senggara lebih awal, kalau dah rosak kosnya lebih mahal,” ujar Fadillah.

Bagaimanapun katanya, antara cabaran utama yang perlu dihadapi KKR adalah peruntukan yang terhad.

“Apa kaedah lebih baik untuk kita laksanakan, dengan pada masa sama kita perlu mengimbangi jalan yang jangka hayat hampir tamat dan perlu diperkukuhkan dan pada masa sama menyelenggara jalan sedia ada.

“Sebab itu kita ada dua kaedah iaitu nak buat pavement dan bukan pavement,” katanya. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru