Friday, October 7, 2022

1MDB: Siasat mantan Gabenor Bank Negara

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini telah membuat satu laporan Polis terhadap tuduhan bahawa keluarga bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menerima transaksi yang melibatkan individu buruan polis berkenaan kes 1MDB iaitu Jho Low.

Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Shahrul Nasrun Datuk Kamarudin, terdapat satu laporan khas daripada Malaysia Today yang mengesahkan keluarga Zeti menerima wang melalui akaun di negara jiran.

“Terdapat wujudnya ‘money trail’ (jejak wang) yang mengesahkan Syarikat Iron Rhapsody ini didakwa dimiliki oleh suami dan dua anak lelaki Zeti Aziz menerima wang berjumlah USD 16,219,409.23 melalui akaun di Singapura daripada entiti yang mempunyai pendaftaran di bawah nama Jho Low.

“Adakah ini untuk mensabotaj sebahagian daripada konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu. Kenapa Zeti Aziz menasihati bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika itu untuk berbuat demikian sewaktu Zeti Aziz menjawat jawatan sebagai Gabenor Bank Negara.

“Pemuda UMNO khuatir kerana sehingga hari ini, tidak pernah ada sebarang kaitan atau siasatan terperinci dan tindakan undang-undang yang telah dikenakan terhadap individu-individu penting di Bank Negara Malaysia berkenaan salahguna dana 1MDB.” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini semalam seperti dilapor Umno Online.

Turut hadir Exco Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Mohd Zaidi Abdul Kadir, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pandan Mohd Neezam Abdul Aziz, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang Zulkifli Rajalie dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Buloh, Mohd Izwan Mohd Noor.

Shahrul Nasrun yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Ampang mengharapkan agar pihak berkuasa dapat menyiasat individu terbabit.

“Sebagai individu yang mengendalikan aset lebih dari RM300 bilion bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB) ketika ini, beliau harus tampil untuk menafikan tuduhan ini sekiranya ia tidak benar.

“Pihak berkuasa wajib menyiasat perkara ini dan mengemukakan ke pengadilan supaya rakyat Malaysia mengetahui keadaan sebenar,” ujarnya.

Tegas Shahrul lagi, walaupun Zeti Aziz menafikan perkara ini dan beliau meminta pihak berkuasa menyiasat perkara ini seadil-adilnya kerana ia merupakan kes yang besar pada negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru