KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan berpendapat isu daging kartel haram hanya mencerminkan kerosakan yang lebih mendalam di dalam sistem kerajaan sedia ada dan satu tindakan yang drastik harus dilakukan.

Soalnya, mengapa kerajaan masih membisu walaupun perkara itu telah berlarutan hampir sebulan dan jika itulah tindakan kerajaan, beliau yakin Malaysia akan terus menuju kemusnahan yang lebih teruk.

Ulasnya, berita tentang penyeludupan daging yang tidak diiktiraf atau dalam erti kata lain haram telah semakin hangat walaupun telah didedahkan oleh Sinar Harian sejak 2 Dis lalu namun kerajaan masih membisu dan rakyat terus keliru.

“Jika ianya betul berleluasa sejak 40 tahun dahulu, mungkin setiap Muslim di negara ini telah ‘menikmati’nya kerana kita memerlukan lebih 70% sumber daging daripada luar negara bernilai berbilion ringgit.

“Ianya sangat menggoda para peniaga untuk memanipulasinya terutama dengan penglibatan para pegawai kerajaan yang sanggup bersekongkol dengan mereka.

“Cuba bayangkan berapa keuntungan yang telah dikaut selama ini? Dan berapa habuan yang telah diberi mereka kepada pihak-pihak berkuasa? Amat menyedihkan para pengeluar sijil halal ini adalah daripada kalangan para pendokong agama kita,” tambahnya.

Jelasnya juga isu tersebut berkaitan dengan korupsi, ketiadaan integriti dan yang sangat menyedihkan ialah ianya telah menular di banyak jabatan-jabatan kerajaan.

“Saya yakin masih ada penjawat-penjawat awam yang berintegriti tetapi mengapakah perkara ini susah untuk diketengahkan?

“Adakah ‘Whistleblower Act’ tidak efektif? Para pengubal undang-undang harus memikirkannya untuk memperkasakan lagi undang-undang ini,” gesanya.