Tuesday, July 27, 2021

Tahun duka lara, malapetaka 2020

Mesti baca

SETIAP kali  satu-satu tahun hendak berlalu meninggalkan kita, kita pasti akan meninggalkannya dengan memori atau kenangan tertentu.  Kita meninggalkan tahun yang hendak berlalu dengan rasa sayu. Tetapi adakah demikian juga untuk tahun 2020?

Bagaimanakah sejarah  dan dunia mengingati tahun 2020?  Hakikatnya, tahun-tahun yang berlalu dan setiap tahun diingati seseorang atas sebab yang berbeza. Namun, saya percaya untuk tahun ini, majoriti warga dunia akan mengingatinya kerana Covid-19. 

Tahun 2020 ialah tahun untuk buku sejarah dan pengkaji sejarah 50 atau seratus tahun lagi, malah seribu tahun dari sekarang. 

Bagaimana sejarah dan sejarawan ketika itu menilai kebijaksanaan dan kearifan kita menangani isu dan krisis ini banyak bergantung kepada keberkesanan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh dunia. Peristiwa dan krisis ini akan dirakamkan, termasuk di alam maya, untuk generasi masa depan, jauh selepas kita sudah tiada nanti. 

Sesuatu peristiwa atau kejadian berakhir, tetapi memori atau ingatan kekal selamanya. Memori mungkin sahaja singkat, namun memori 2020 tentu akan kekal jelas dan aktif untuk tahun-tahun akan datang sebagaimana manusia mengingati Spanish Flu yang melanda dunia pada 1918. 

Atau bagaimana manusia mengingati pandemik Black Death (1347-1351) yang  dipercayai mengorbankan 75  juta hingga 200 juta orang. 

Yang pasti tahun 2020 akan diingati sebagai tahun paling traumatik dan getir dalam sejarah moden.

Ya, betul manusia dan dunia telah mengharungi pelbagai peristiwa dan malapetaka. Tetapi bukan semua yang diingati mereka. Mereka mendepaninya, menangani dan menyelesaikannya, dan melupai atau meninggalkannya. 

Tetapi ada kisah dan peristiwa yang sukar untuk dibenamkan di dalam lipatan sejarah. Ada kisah yang sukar dikikiskan dari ingatan. Tahun 2020 tentu satu daripadanya. Sebab, kita telah berdepan dengan krisis ini hampir setahun. Bagai belum ada sinar harapan untuk masalah dan krisis kesihatan itu berlalu. 

Setiap hari anda membaca pasti ada yang menemui ajal atau dijangkiti virus maut itu. 

Kesan dan bagaimana kita mendepani Covid-19 membayangkan bahawa kita — maksud saya – – dunia bagai belum bersedia menghadapi krisis kesihatan seperti ini. Bukan tidak pernah kita berdepan masalah sedemikian sebelum ini. Ya, sesungguhnya, manusia, kita semua, bukanlah hebat sangat atau kuat sangat ketika berdepan krisis dan cabaran begini. Ya, bagaimana kita menangani Covid-19 ialah buktinya. 

Bagaimanakah anda yang bakal hidup 50 atau 80 tahun lagi mengongsikan ancaman pandemik Covid-19 kepada anak, cucu dan cicit  anda nanti?

 Bagi warga dunia, tahun 2020 pasti akan kekal abadi dalam ingatan. Tahun 2020 tahun yang pedih dan suram. Tahun yang mendatangkan malapetaka kepada dunia. 

Angka kematian menuju dua juta manakala jangkitan melebihi 80 juta. Memang, angka korban Covid-19 tidaklah seburuk ketika Spanish Flu melanda dunia pada 1918 apabila 500 juta dijangkiti dan 50 juta terkorban.

Sesungguhnya, Covid-19 yang mulai dikesan di Wuhan, China pada akhir tahun lalu telah menyebabkan dunia tunggang terbalik. 

Banyak yang hilang pekerjaan dan pendapatan. Krisis rumahtangga berlaku disebabkan hilang mata pencarian dan beban hutang. Kesudahannya, banyak kesan sampingan lain ekoran daripadanya, termasuk jumlah manusia menghidap masalah mental dan bunuh diri meningkat. 

Kalau dalam keadaan biasa 800,000 bunuh diri setiap tahun, angka itu tentu meroket tahun ini. Lebih dahsyat purata satu kejadian bunuh diri setiap 40 saat.

Di Malaysia, sejak 18 Mac ketika PKP dikuatkuasakan hingga akhir Oktober lalu misalnya, 266 kes bunuh diri direkodkan di negara ini. 

Maksudnya, purata lebih 30 orang bunuh diri sebulan atau seorang setiap hari! Ini satu tragedi kemanusiaan. 

Manakala 465 lagi cuba bunuh diri dari Januari hingga Jun. Bayangkan, 11,791 panggilan diterima Talian Sokongan Psikososial oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sejak 25 Mac lalu

Tahun ini tentu diingati sebagai tahun manusia terkurung di dalam rumah atas nama penguncian atau perintah kawalan pergerakan. Mereka menghabiskan banyak masa di rumah. Pada awalnya memang seronok berada di dalam rumah. 

Tetapi apabila sudah terlalu lama terkurung, banyak masalah lain pula timbul, termasuk tekanan perasaan dan konflik dalam rumah tangga. 

Ya, tahun 2020 akan tetap diingat sebagai tahun yang menyebabkan warga dunia — kita semua — sebagai tahun pelbagai kelaziman baharu terpaksa  diamalkan. 

Tidak lagi aneh untuk menyaksikan manusia memakai pelitup muka atau menjaga penjarakan fizikal serta sanitasi tanpa henti. 

Tahun 2020 tahun yang sangat sukar, tahun penuh cabaran dan ujian. Tahun yang getir. 

“Every so often, there are individual years in history that are written about in their entirety.  I think 2020 is going to stand out as one of those years, that has books written just about it,” tulis Profesor Sejarah Universiti Deakin, Profesor David Lowe.

“Tahun 2020 akan diingati sebagai titik tolak dalam sejarah manusia,” tulis Marcelo Geliser untuk CNN. 

“Bukan hanya kerana banyak yang akan mati, tetapi kerana pandemik Covid-19 menawarkan peluang kepada kita untuk mencipta semula diri kita.”

Saya berharap 20 tahun atau 50 tahun atau 100 tahun, malah 1,000 tahun dari sekarang, sejarah tahun 2020 akan memperlihatkan era baharu pengorbanan dan komitmen manusia terhadap warga dunia pada keseluruhannya.  Maksudnya, biarlah tahun 2020 bukan hanya diingati kerana malapetaka dan duka sengsara yang dibawanya terhadap hidup dan kehidupan atau manusia dan kemanusiaan, tetapi juga sisi-sisi positif yang mengiringinya.  

Memang, sukar untuk kita kembali ke keadaan dan amalan lazim seperti sebelumnya setidak-tidaknya untuk beberapa ketika dan untuk beberapa tahun. 

Warga dunia berdepan dengan krisis mental, emosi dan psikologi disebabkan pandemik Covid-19. Tetapi kita perlu keluar dari jaringan kemelut dan gelora ini. Kita perlu kuatkan semangat dan azam untuk memastikan kita dapat hidup seperti biasa. 

Kita semua perlu berazam untuk hidup normal selepas ini. Kita doakan biar kejadian dan peristiwa sepanjang tahun 2020 ini memberi pengajaran kepada kita semua untuk mengharungi tahun 2021 dengan penuh harapan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru