PUSA: Semua kelab di kawasan Saribas digesa agar terus kekal aktif dalam menjalankan aktiviti masing-masing dan tidak hanya aktif pada masa yang terdekat ini sahaja.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohamad Razi Sitam, kelab juga perlu mengambil inisiatif yang diberikan oleh kerajaan di samping menjaga hubungan dengan pihak luar bagi memudahkan mereka mendapatkan dana.

Jelasnya, sebuah yang kelab yang aktif dan berjaya dinilai dari keupayaannya mendapatkan dana dari sumber lain dan tidak bergantung dengan satu sumber sahaja selain memiliki banyak rangkaian dengan pelbagai syarikat, badan-badan kerajaan, NGO dan sebagainya.

Bercakap semasa Majlis Simbolik Perasmian Penubuhan Kelab Sukan Dan Rekreasi Tuie Baru pada Khamis, Mohamad Razi berharap penubuhan kelab itu akan menjadi medium untuk penduduk Kampung Tuie menjayakan sebarang program yang melibatkan semua lapisan masyarakat.

Pada majlis itu, Mohamad Razi turut menyumbang dana sebanyak RM10,000 untuk baikpulih Dewan Kampung Tuie, RM1,500 tambahan untuk pengurusan pertandingan sepak takraw di Kampung Tuie pada 1 hingga 3 Januari 2021 dan RM1,000 untuk Pertandingan Bola Sepak Veteran Kampung Tuie.