Wednesday, July 28, 2021

PRN-12: Masih adakah masa depan PKR di Sarawak?

Mesti baca

Masa depan Parti Keadilan Sarawak (PKR) menjadi teka-teki selepas Pengerusi Negeri Sarawak Baru Bian tidak lagi bersama-sama parti itu beberapa bulan lalu.

Adakah PKR masih relevan? Adakah parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditubuhkan selepas krisis politik negara pada 1998 itu dapat bertahan?

Baru Bian, Ahli Parlimen Selangau dan Adun Ba Kelalan merupakan antara orang kuat PKR. Tetapi apabila Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertindak keluar parti, Baru juga keluar. Tetapi, beliau tidak bersama-sama dengan Azmin menyertai Bersatu.

Memang dari awal lagi Baru sudah kelihatan tidak sebulu dengan Anwar.

Beberapa kali beliau tidak menghadiri konvensyen parti, termasuk yang diadakan di Miri.

Sedangkan sebagai Pengerusi PKR Negeri sepatutnya, beliau ada bersama-sama parti. Bukankah ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan beliau dalam konteks hubungan dengan Anwar.

Ada apa dengan Baru sebenarnya?

Jadi, bukanlah mengejutkan beliau meninggalkan parti itu — walaupun kemenangannya  dalam pilihan raya adalah atas tiket PKR.

Selepas Baru tidak lagi menerajui PKR Sarawak, kekosongan berkenaan telah diisi oleh Larry Sng.

Namun, kelihatannya Larry pun tidak lama bertahan di kerusi itu.

Beberapa hari lalu Larry menyatakan hasrat untuk berundur dan menyerahkan kerusi itu kepada pemimion Dayak. Siapakah pemimpin Dayak berkenaan?

Bagaimanapun, semalam  Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak itu berubah fikiran. Beliau menyatakan  sedia menimbangkan semula hasrat berkenaan selepas perbincangan dengan pemimpin PKR Sarawak.

Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangannya bahawa PKR perlu dipimpin daripada kalangan Dayak masih didukung.

“Pemimpin PKR Sarawak telah memberikan keyakinan dan sokongan penuh untuk saya terus memimpin Majlis Pimpinan  PKR Negeri,” kata Ahli Parlimen Julau itu dalam satu kenyataan.

Mengapakah beliau bagai tidak konsiten dan tegas dalam pendiriannya?

Adakah kerana desakan akar umbi atau desakan Kuala Lumpur?

Ketika menyatakan hasrat untuk berundur Larry  menjelaskan, keputusannya itu adalah demi kepentingan PKR Sarawak memandangkan majoriti penduduk Sarawak adalah orang Dayak.

“Majoriti penduduk Sarawak adalah orang Dayak namun kita dapati kawasan termiskin dan mundur di negeri ini berada di kawasan Dayak.

“Orang Dayak juga kurang mewakili kepimpinan tertinggi sama ada dalam parti pemerintah mahupun pembangkang, misalnya presiden dan pengerusi parti dari PBB, PDP, SUPP, PKR, DAP, PSB, PBK, Amanah semuanya orang Melayu atau Cina walaupun parti mereka banyak disokong orang Daya,” katanya lagi.

Namun, pada Selasa Majlis Pimpinan Negeri  PKR Sarawak mengambil ketetapan untuk menolak peletakan jawatan Larry Sng sebagai Pengerusi PKR negeri itu.

Ketua Penerangan MPN, Abun Sui Anyit dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat MPN tergempar yang diadakan pada Selasa.

Adakah ini bermaksud belum terdapat pemimpin Dayak dalam PKR Sarawak ketika ini yang bersedia untuk memikul tugas dan tanggungjawab berat itu?

Atau mereka masih yakin terhadap kepemimpinan Larry untuk membawa PKR ke tahap lebih tinggi selepas ini.

Kejayaan dan kehebatan kepemimpinan beliau antaranya akan diukur dari segi sejauh mana calon PKR dapat memenangi kerusi dalam PRN-12 Sarawak pada tahun depan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru