Pilihan Raya Negeri Sarawak  sepatutnya diadakan pada hujung tahun ini. Tetapi bulan Disember hampir berlalu. Kelihatannya, sudah pasti PRN-12 akan diadakan pada tahun depan.

Jadi, bilakah PRN-12 akan diadakan? Tidak mungkin Januari atau Februari atau April atau Jun.

Sebab, pada bulan Januari seperti pada tahun-tahun sebelumnya, semua orang sibuk termasuk menyambut Tahun Baharu 2021 dan sibuk membuat persiapan untuk menghantar anak ke sekolah.

Bulan Februari juga tidak mungkin kerana masyarakat Cina akan meraikan Tahun Baharu Cina pada 12 Februari. Selepas itu mereka akan meraikan Chap Goh Meh.

Tidak mungkin ia diadakan selepas  4 April kerana pada 12 April dijangkakan umat Islam akan mulai berpuasa.

Sebulan berpuasa bermaksud hingga 12 Mei.

Ia sudah terlalu dekat dengan tempoh matang penggal DUN Sarawak berakhir.

Tarikh akhir DUN penggal sekarang tamat ialah 6 Jun 2021.

Tidak pernah dalam sejarah Sarawak, malah Malaysia DUN atau Dewan Rakyat terbubar dengan sendirinya. Maksudnya, tidak pernah mana-mana kerajaan menggunakan kuasa sampai ke tempoh maksimum.

Saya menjangkakan PRN-12 mungkin diadakan pada 27 Mac atau 3 April 2021, iaitu hari Sabtu. Mungkin DUN akan dibubarkan akhir Februari atau awal Mac.

Persoalannya, mungkinkah Pakatan antara Pakatan Harapan Sarawak dan Parti Sarawak Bersatu  (PSB)  dapat menumbangkan GPS dalam PRN-12 untuk membentuk kerajaan?

Jawapan mudah, sukar. Ia mungkin dapat menang lebih banyak kerusi pada pilihan raya tapi tidak cukup untuk menumbangkan GPS.

Tentangan atau pesaing utama GPS ialah DAP dan PSB. Jika kedua-dua buah parti itu dapat menjalinkan kerjasama dan mengelak daripada pertembungan kerusi, ini akan sedikit banyak memberi kesan kepada GPS.

PSB yang diketuai Wong Soon Koh mempunyai dua Ahli Parlimen dan enam Adun.

Pada pilihan raya negeri 2016, calon PKR dan DAP bertembung di Batu Kitang, Ngemah, Mulu, Murum, Mambong, dan Simanggang. Kedua-dua parti tewas di enam kerusi itu.

Tetapi, ia tidaklah sampai menyebabkan gabungan parti berkenaan menang terlalu besar.

Ketua PH Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata rundingan kerusi diadakan dengan PSB bagi membentuk barisan pembangkang yang kuat pada PRN-12.

Chong, yang juga pemimpin DAP Sarawak, berkata partinya tidak akan bertanding melawan sekutunya, PKR, dan merancang untuk tidak bertanding beberapa kerusi, terutama di kawasan luar bandar.

Bekas pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan, dan Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura dua hari lalu berkata pakatan pilihan raya antara pembangkang tidak memadai untuk merampas kuasa di negeri.

Hakikatnya, menurut Azmi seperti dipetik sehuah portal,  GPS masih kuat di banyak kawasan di Sarawak dan satu-satunya cara PH dan PSB untuk menang adalah sekiranya GPS menghadapi masalah dalaman.

GPS ketika ini berada dalam keadaan teguh dan difahamkan bersedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

Oh berkata DAP tidak popular di kawasan luar bandar dan keputusan untuk tidak bertanding di situ tidak akan beri impak pada nasibnya.

“Lagipun DAP tidak dijangka akan menang di kerusi-kerusi luar bandar ini, jadi tak rugi kalau biar PSB atau PKR bertanding di situ, atau mungkin bertanding lebih banyak kerusi bandar di mana peluang DAP untuk menang lebih baik,” katanya seperti dipetik portal berkenaan.

Jelas beliau lagi, PH dan PSB dijangka boleh saling melengkapi, dari segi mengumpul sokongan daripada pelbagai komuniti dan wilayah di Sarawak.

Oh juga percaya penyelarasan kerusi antara DAP dan PKR akan lebih baik, selepas pemergian beberapa pemimpin yang memberi kesan pada kekuatan mereka.

Azmi berkata kedua-dua parti itu tiada pilihan kecuali bersepakat dalam hal kerusi sekiranya mahu menawan kerajaan negeri.

Jadi, dalam keadaan sekarang, yang punya harapan untuk menang ialah DAp dan PSB. Manakala PKR berada dalam keadaan hampir lumpuh selepas Baru Bian tidak lagi menjadi Pengerusinya di peringkat negeri.

Mungkin sahaja PH dapat menambah kerusi dalam PRN-12, tetapi tidaklah sampai menumbangkan GPS untuk membentuk kerajaan.