Tuesday, July 27, 2021

Masa depan PH: Ada apa dengan Anwar?

Mesti baca

Ekoran kegagalan PH dalam memastikan Belanjawan 2021 tidak diluluskan, kini terdapat desakan kuat terhadap ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim agar berundur.

Kini wujud semacam gerakan untuk menukar status Anwar yang juga Presiden PKR dan Pengerusi PH sehingga mencetuskan polemik.

Gerakan mendesak Anwar Ibrahim melepaskan jawatan ketua pembangkang disifatkan sebagai “usikan nakal” oleh pihak tertentu susulan kegagalan blok itu menghalang Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat, Selasa lalu.

Kredibiliti Anwar sebagai ketua pembangkang dipertikai segelintir pemimpin PH dan rakan pembangkang seperti Pejuang dan Warisan.

Ini susulan kegagalan blok pembangkang menjalankan undian belah bahagi bagi bacaan kedua Belanjawan 2021 pada 26 November lalu.

Sebab, hanya 13 Ahli Parlimen pembangkang bangun untuk memohon undian belah bahagi, kurang 15 seperti diperlukan, difahamkan berpunca daripada arahan saat akhir Anwar.

Kegagalan berkenaan membawa implikasi bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu sudah hilang wibawa serta legitimasi politik dan moral untuk mengepalai barisan pembangkang.

Bagi golongan ini, Anwar sudah tidak lagi layak menjadi pemimpin pembangkang.
Sejak awal, pembangkang dan Anwar begitu yakin bahawa Belanjawan 2021 yang penting untuk rakyat dan negara itu tidak akan berjaya diluluskan di Dewan Rakyat.

Namun, ia sudah gagal pada peringkat dasar dan jawatankuasa, sebelum gagal lagi selepas bacaan ketiga Selasa lalu menerusi undian belah bahagi, 111 lawan 108.

Ya, dari Peringkat Dasar hinggalah Peringkat Jawatankuasa, 27 Kementerian yang bermula 30 November. Semuanya diluluskan oleh Dewan Rakyat, dengan sembilan daripada 27 Kementerian lulus menerusi undi belah bahagi.

Pada peringkat bacaan kali kedua, pembangkang dikritik teruk oleh rakyat, termasuk penyokong mereka sendiri dan netizen apabila gagal memperoleh kuorum 15 Ahli Parlimen untuk mengadakan undian belah bahagian.

Sebelum itu, PH menggesa semua Ahli Parlimen – tidak kira kerajaan atau pembangkang — supaya menolak Belanjawan 2021 dalam pengundian kali ketiga di Dewan Rakyat.

PH mendakwa Belanjawan 2021 tidak menepati matlamat dan objektif untuk memerangi Covid-19, membantu rakyat, dan menghidupkan semula ekonomi.

Sedangkan, seluruh dunia tahu bahawa, inilah belanjawan yang membabitkan sesi libat urus — engagement — dengan pelbagai pihak, termasuk pembangkang sendiri. Tidak pernah dalam sejarah negara, belanjawan melalui sesi libat urus yang sedemikian menyeluruh dan membabitkan pembangkang.

Malah, tidak pernah dalam sejarah, belanjawan didebatkan sedemikian seru, dengan segala input konstruktif dan relevan diambil kira untuk terus memperbaikinya demi kepentingan dan kseejahteraan rakyat.

Seyogia diingat, lebih 6,600 cadangan telah diterima Kementerian Kewangan daripada sesi konsultasi Belanjawan 2021 bersama-sama parti politik. Juga melalui laman web Belanjawan 2021 sehingga 2 November lalu sebelum dibentangkan pada 6 November. Ini termasuk lebih 170 cadangan yang telah diterima susulan perjumpaan dengan ahli politik.
Sejak Julai, lebih 40 sesi konsultasi diadakan melibatkan lebih 2,000 individu dan wakil perniagaan.

Meskipun demikian, pelbagai strategi dan helah dilakukan oleh PH. Namun, semuanya kecundang. Mereka berputih mata. Kini, keadaan pembangkang dapatlah diumpakan, ayam terlepas tangan bau tahi. PH terpukul teruk dan hilang maruah di mata rakyat.

Motif atau agenda utama pembangkang perlu difahami rakyat. Mereka menyedari sesi persidangan kali ini kesempatan terbaik untuk menumbangkan PN dan Tan Sri Mahyuddin Yassin.

Jika belanjawan itu gagal diluluskan, maka secara implikasi politiknya, Perdana Menteri tidak mendapat sokongan majoriti, justeru hendaklah perlu meletakkan jawatan.

Maka tidak mengejutkan, pembangkang matian-matian mahu memastikan bahawa agenda itu dipenuhi. Tetapi bagaimanakah hasrat berkobar-kobar itu dapat dicapai kalau dalam kalangan pembangkang sendiri tidak bersatu dan berpecah belah?

Dalam keadaan terdesak, pemimpin Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sudah tidak lagi relevan itu, menghulurkan umpan, dengan mengajak penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah supaya tidak menyokong belanjawan itu.

Hakikatnya, sudah terang lagi bersuluh, selagi tidak ada kerjasama antara Anwar dengan Mahathir, segala impian itu hanya menjadi angan-angan. Ia tidak mungkin menjadi kenyataan. Ia hanya omong kosong.

Kita tahu bahawa hubungan antara bekas Perdana Menteri dengan Anwar ialah hubungan yang penuh curiga, dan tidak mungkin dipulihkan. Hubungan yang penuh dengan ranjau dan duri. Hubungan yang tidak ikhlas dan masih bersalutkan dendam kesumat.

Ketika PKR mahu Anwar menjadi Perdana Menteri, Mahathir pula bagai tidak puas-puas, dan terus mahu berada di kerusi berkenaan walaupun sudah berusia 94 tahun dan berada di kerusi itu tiga kali, termasuk sebagai Perdana Menteri interim. Apa lagi yang Mahathir mahu?

Jadi, bagaimana mungkin kerjasama politik antara dua pemimpin itu dapat dijalin kerana Mahathir secara jelas tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri — matlamat yang kekal sebagai cita-cita PKR. Sebelum ini pun Mahathir tidak mengotakan janjinya untuk Anwar berada di kerusi itu sehingga memudaratkan PH sendiri.

Maksudnya, biar apa-apa pun diucapkan dan dijanjikan secara terbuka, Mahathir tidak akan membenarkan Anwar menjadi Perdana Menteri. Musuh Anwar yang sebenar dalam politik ialah Mahathir. Anwar perlu sedar akan hakikat itu dan tidak harus mudah terpedaya oleh kelicikan pemimpin politik veteran itu.

Ya, selagi Mahathir masih hidup, beliau akan sedaya upaya menyekat Anwar menjadi Perdana Menteri.

Adakah ini bermakna, pembangkang harus keluar dari bayangan Anwar dan Mahathir? Mereka tidak harus lagi bergantung harap kepada kedua-dua pemimpin itu kerana mereka tidak akan mungkin membawa pembangkang ke mana-mana.

Persoalannya, siapakah yang dapat menggantikan mereka? Dalam kalangan pemimpin pembangkang pun, tidak ada yang menyerlah ketokohannya sekali gus menggambarkan kegagalan pembangkang untuk menggilap bakat dan memberi ruang kepada pemimpin pelapis.

Ingat, pada Khamis, Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng dan Presiden Amanah, Datuk Mohamad Sabu menggesa blok pembangkang supaya melakukan “reset”. Gesaan ini dianggap sesetengah pihak sebagai satu lagi percubaan menggagalkan cita-cita dan impian Anwar.

Selain itu kata mereka, PH perlu melihat melampaui 92 Ahli Parlimennya dan memberi fokus kepada 108 Ahli Parlimen pembangkang, merujuk kepada Warisan dan mereka yang bersama-sama Mahathir.

Malah, Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal turut menggesa perubahan dalam pimpinan pembangkang. Beliau memberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pembangkang kalah dalam pilihan raya umum akan datang. Beliau malah menganggap kepemimpin pembangkang di peringkat nasional berpecah, malah kehilangan arah.

Ada pertikaman lidah antara kalangan pemimpin pembangkang dengan puak yang menyokong Anwar sebaliknya menggesa pihak yang perlu melakukan perubahan ialah Warisan dan Pejuang.

Merekalah yang sepatutnya melakukan perubahan dalam kepemimpinan. Atau hakikatnya, semua pemimpin pembangkang perlu diubah jika mereka mahu kemenangan dalam PRU-15 nanti?

Melangkah ke hadapan, kalau mahu muncul sebagai blok yang disegani dan dihormati rakyat, PH perlu terus bergerak dan memperkukuhkan kekuatan yang ada pada pembangkang menjelang PRU akan datang. Mereka tidak harus memasang angan-angan untuk mendapat sokongan Ahli Parlimen PN khususnya Umno. Mereka juga tidak harus bermain politik dengan menggoncangkan kedudukan PN.

Rakyat sudah muak dengan sandiwara itu. Kegagalan pembangkang dalam menyekat Belanjawan 2021 harus membuka mata mereka bahawa, masa untuk melihat kelemahan diri dan seterusnya memperbaikinya harus diutamakan.

Mereka perlu fokus kepada usaha bagaimana mendapatkan sokongan rakyat dalam PRU-15, dan bukannya asyik bermain politik ketika kita berdepan dengan krisis kesihatan dan ekonomi, dengan banyak yang hilang pekerjaan dan pendapatan.

Mereka harus biarkan Muhyiddin dan kerajaan melaksanakan inti parti Belanjawan 2021 pada tahun depan, sementara Dewan Rakyat belum dibubarkan.

Persoalannya, apa rancangan PH? Ya, apa rancangan Anwar dan Mahathir? Ada apa dengan Anwar, Mahathir dan PH?

Secara Rawak

Artikel Terbaru