Tuesday, August 16, 2022

Jumlah individu ingkari PKP meningkat

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Jumlah mereka yang ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Sabtu (19 Dis) meningkat lebih dua kali ganda berbanding hari sebelumnya, menunjukkan masih ramai yang mengambil mudah wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 672 orang ditahan pada Sabtu, berbanding 249 orang yang ditahan pada Jumaat.

Daripada 672 orang yang ditahan itu, 643  telah dikompaun manakala 29 individu lain pula direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (442), tidak memakai pelitup muka (90), gagal mematuhi penjarakan fizikal (78), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (37) dan lain-lain (25),”  katanya dalam satu kenyataan.

Ismail Sabri berkata Operasi Benteng semalam berjaya menahan 83 pendatang tanpa izin dan seorang tekong serta merampas tiga kenderaan darat selain melaksanakan 118 sekatan jalan raya.

Beliau berkata, pada Sabtu anggota penguat kuasa telah membuat pemeriksaan di tujuh tapak binaan di seluruh Malaysia dengan kesemuanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Ismail Sabr yang dipetik  Bernama, sejak 20 April hingga semalam 14,007 pemeriksaan telah dilakukan oleh anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang melibatkan 8,000 tapak binaan di seluruh negara.

Mengenai kuarantin wajib, beliau  berkata sejak 24 Julai hingga 19 Dis seramai 89,479 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka telah ditempatkan di 75 hotel dan 16 institut latihan awam serta institut pengajian swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah, Labuan dan Melaka.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 8,384 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 532 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 80,563 individu telah dibenarkan pulang.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru