Tuesday, June 28, 2022

Jangan bawa masuk pekerja asing tidak sah

Secara Rawak

SIBU: Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee memohon orang ramai tidak membawa masuk pekerja asing tidak sah ke negeri ini kerana ia memudahkan penyebaran jangkitan Covid-19.

Beliau ketika dihubungi semaberkata, kejadian empat wanita warga Indonesia yang positif Covid-19 ketika datang ke sini harus menjadi pengajaran kepada semua.

Dr Annuar menjelaskan bahawa ada peraturan dan undangundang yang harus dipatuhi jika perlu membawa pekerja asing, termasuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengurangkan penyebaran penyakit ini.

“Walaupun polis telah memberitahu keempat-empat wanita terbabit telah kembali ke negara mereka, namun kita bimbang dengan kontak rapat mereka iaitu bersentuhan di rumah atau dimana-mana sahaja di sini sebelum melakukan ujian saringan kedua.

“Saya pasti mereka datang ke sini untuk bekerja bagi mencari nafkah. Oleh itu, mereka yang membantu membawa pekerja asing datang ke negeri ini diminta untuk mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan… antaranya memerlukan kuarantin terlebih dahulu.

“Jangan ambil kesempatan, sila patuhi prosedur yang telah ditetapkan. Membawa masuk pekerja asing tanpa mematuhi SOP yang telah ditetapkan bermaksud anda membawa pekerja haram yang salah di sisi undang-undang,” tegas Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu.

Adun Nangka itu turut menjelaskan, setiap individu harus memastikan semua orang asing yang datang bekerja di negeri ini mematuhi prosedur yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Oleh kerana pintu sempadan negara masih ditutup, jadi pekerja asing yang datang ke negeri ini untuk mencari pekerjaan perlu diperiksa dan memenuhi syarat yang diperlukan.

“Apa yang berlaku di Sibu di mana keempat-empat wanita warga Indonesia itu yang disahkan positif Covid-19 walaupun telah pulang ke Kalimantan Barat, seharusnya membuka mata sesiapa sahaja untuk tidak melibatkan pekerja haram,” tegas beliau lagi.

Keempat-empat wanita itu antara sembilan kes baharu Covid-19 yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kemas kini kes hariannya pada Khamis.

JPBNS mengatakan bahawa wanita terbabit didapati negatif Covid-19 pada 6 Disember lalu pada saringan pertama untuk pekerjaan tetapi dalam saringan kedua pada 15 Disember lalu, keputusan mereka positif. JPBNS mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai simptom dan telah diklasifikasikan sebagai kes Covid-19 import.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru