SARIKEI: Seramai 32 peserta dari Sarikei, Sibu, Sri Aman, Kuching, Samarahan, Bintulu dan Miri telah menyertai Kursus Pengadil Futsal Kelas 3 yang dianjurkan Persatuan Bolasepak Bahagian Sarikei bertempat di Komplek Sukan Sarikei semalam.

Majlis penutupan kursus bermula sejak 17 Disember itu disempurnakan Menteri Muda Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap ADUN Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh.

Dalam ucapannya, beliau memberitahu bolasepak merupakan sukan yang paling diminati oleh semua lapisan masyarakat dan peringkat umur samada tua atau muda.

“Adalah menjadi harapan agar rakyat dalam kalangan belia di kawasan Sarikei ini akan dapat mencungkil bakat serta membina generasi belia yang berkebolehan, berkepimpinan yang tinggi dan sekali gus meningkatkan pembangunan serta kemajuan negara.

“Pengadil adalah merupakan individu yang terpenting dalam acara sukan bola sepak mahupun futsal dalam memastikan sesuatu perlawanan atau pertandingan bola sepak dan futsal dapat dijalankan mengikut undang-undang permainan.

‘Kita mahu ada wakil dari negeri ini yang akan terpilih sebagai Pengadil ke peringkat FUTSAL FIFA mahupun antarabangsa suatu hari kelak,” tambahnya lagi.

Jelas Datuk Len, untuk melahirkan ahli sukan bertaraf dunia kemudahan dan mentaliti atlet juga perlu bertaraf dunia.