KUCHING: Seorang lelaki warga tempatan terpaksa akur selepas ditahan di sebuah rumah yang dijadikan tempat persembunyian rokok tanpa cukai pelbagai jenis berjumlah 3,908 karton di kawasan perumahan Kuching, di sini semalam.

Komander Briged Sarawak SAC Mancha Ata menerusi satu kenyataan mengesahkan kejayaan tersebut hasil tindakan pengesanan Unit Risik Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak terhadap suspek sebelum ini.

Menurutnya, tindakan pasukan operasi mengekori kenderaan jenis Toyota Unser yang dipandu suspek sekitar jam 8 pagi membuahkan hasil sekali gus menjejaki tempat penyimpanan barang tersebut.

“Suspek dijejaki hingga ke sebuah rumah yang disyaki dijadikan tempat penyimpanan rokok belum lulus cukai Kastam sebelum pasukan menyerbu masuk menahan suspek seterusnya membuat pemeriksaan di rumah tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 2,858 karton (571,600 batang) rokok putih 1050 karton (168,000 batang) rokok kretek di dalam rumah terbabit.

“Selain itu kita turut mendapati sebuah MPV jenis Toyota Unser disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu, ” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya jumlah keseluruhan barangan yang dirampas termasuk cukai bernilai RM626,460.

Dedahnya, suspek ketika ditahan mengaku dirinya sebagai penjaga rumah terbabit.

Ujarnya, suspek bersama-sama barang rampasan seterusnya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan untuk tindakan siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.