PADAWAN: Seorang lelaki warga Indonesia sempat mencuci dan menjemur kasut yang dicurinya, sebelum dia ditangkap anggota pasukan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata suspek dikenali Ringgo berusia 24 tahun dari Sayung, Singkawang ditangkap di sebuah bilik di Moyan Square, di sini sekitar jam 1.55 petang semalam.

Katanya tangkapan ke atas suspek susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki berusia 46 tahun, selepas mendapati kereta anaknya yang diparkir di rumah, Taman Moyan Utama telah diselongkar oleh orang yang tidak dikenali.

Bagaimanapun, suspek dapat dikesan apabila telah dirakam kamera litar tertutup di rumah mangsa.

“Suspek mengaku mencuri barang pengadu iaitu tiga pasang kasut pelbagai jenama dan seutas jam tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aidil, pemeriksaan mendapati suspek telah masuk ke Kuching melalui Tebedu pada 23 Mac lalu namun tidak pulang ke negara asal selepas permit lawatannya tamat tempoh.