GEDONG: Suatu ketika dahulu, jumlah penduduk Gedong yang kecil dan kurang pembangunan menyebabkan kadar jenayah seperti pecah rumah, dan penyalahgunaan dadah tidak banyak.

Menurut Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Sarawak Datuk Mohd Naroden Majais, keadaan ini mula berubah apabila pembangunan seperti jalan raya mula dibina dan jumlah penduduk Gedong meningkat.

“Gedong telah melalui perubahan yang banyak terutama sekali perhubungan dan pergerakan manusia sudah senang, mudah dan cepat kerana jalan raya tembus menembus.

“Demikian juga kehadiran pekerja ladang dari negara jiran yang mencecah ribuan orang telah menyebabkan dalam tempoh 30 tahun penduduk Gedong meningkat dari 3,000 orang kepada 15,000 ketika ini.

“Kesan ini menyebabkan jenayah meningkat dan keadaannya sudah tidak sama seperti dahulu,” katanya semasa berucap merasmikan Pelancaran Program Jihad Dadah Kontinjen Sarawak yang diadakan di Dewan Terbuka Kampung Gedong, Simunjan pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong menambah, keadaan dilihat semakin mencabar apabila lebih banyak pembangunan dibawa ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong.

“Dalam masa dua tahun akan datang, keadaan DUN Gedong akan terus dibangunkan dengan projek-projek besar seperti Jambatan Gedong ke Lubok Punggor dan terus ke Kuching, jalan dari Gedong ke kawasan Balai Ringin dan Pusat Pembangunan Komuniti yang menempatkan kemudahan sukan, gimnasium, kolam renang dan hotel serta Anjung Usahawan yang baharu.

“Pembangunan ini akan mengubah cara kehidupan pada masa akan datang sama ada daru segi perhubungan, pendidikan, sosial, pertanian dan perniagaan,” tambahnya.

Dalam pada itu, pihaknya turut bercadang menaik taraf Gedong sebagai sebuah daerah kecil dan ini pastinya memerlukan perhatian dalam aspek keselamatan khususnya menambah bilangan pegawai polis di Balai Polis Gedong selaras dengan saiz penduduknya.

Ujar Datuk Naroden lagi, tanggungjawab menjaga keselamatan dan membasmi jenayah tidak harus dibebani kepada pihak polis sahaja, sebaliknya harus dipikul bersama.

“Misalnya, peranan ibu bapa dalam mengawal pergerakan anak-anak di rumah dan guru di sekolah bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan gejala yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah.

“Di samping itu, peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) yang ada di kampung perlu dipertingkatkan bagi mencegah penularan jenayah di peringkat kampung,” ujarnya.

Hadir sama PesuruhJaya Polis Sarawak CP Dato’ Aidi Ismail, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM Kontingen Sarawak ACP Jasmirol Jamaluddin, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak Wan madihi Wan Salleh, wakil Pengarah Pendidikan Sarawak Munawar Ismail, Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Nixon Joshua Ali, wakil Pegawai Daerah Simunjan Raily Jawawi, Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan Hasbi Ancheh, Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).