Tuesday, September 21, 2021

Tidak mahu terikat lagi

Mesti baca

KUCHING: Cadangan untuk mewujudkan satu gagasan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan perkara yang baik untuk negeri ini, tegas Datuk Idris Buang.

Ketua Penerangan Parti PBB itu berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung Parti Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mencadangkan perkara tersebut.

Menurut Adun Muara Tuang itu, GPS tidak mahu terikat dengan BN kerana lebih selesa berdiri sendiri.

“Mereka boleh melaksanakannya di Semenanjung tetapi bukan di Sarawak. “Ini kerana kita mempunyai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk diperjuangkan dan kita mahu berdiri sendiri dan tidak mahu terikat macam dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Teratak Impian Pak Samad, di Kampung Baru Hilir di sini, pada Sabtu.

Tambahnya, dahulu ketika Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri dari Semenanjung, pengerusi BN di peringkat negeri terpaksa akur kepada mereka.

“Jadi kita tidak mahu perkara tersebut berlaku lagi. GPS perlu berdiri sendiri untuk kebaikan negeri Sarawak,” tegasnya.

Terdahulu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, gagasan untuk menggabungkan ketiga-tiga parti tersebut juga melambangkan kesatuan.

Selain itu, gagasan berkenaan dilihat perlu bagi mengekalkan permuafakatan politik ketika menghadapi PRU-15 supaya PN dapat terus memerintah Kerajaan Persekutuan di samping mengambil alih kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru