Tuesday, July 27, 2021

Perlukah GPS sertai piagam persefahaman politik dengan  parti Semenanjung?

Mesti baca

SETIAUSAHA Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin  pada Jumaat mencadangkan satu “piagam persefahaman politik” untuk membentuk gabungan besar merangkumi Perikatan Nasional (PN), BN dan GPS bagi menghadapi PRU-15.

Menurut beliau, pemeteraian piagam antara PN, BN dan GPS itu  akan memastikan kelangsungan kerjasama antara ketiga-tiga pihak dan dapat meningkatkan keyakinan rakyat.

“Dengan termeterainya piagam ini, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat pada masa hadapan,” katanya.

Apakah motif atau agenda sebenar  Bersatu mengemukakan cadangan berkenaan?  

Adakah memang untuk mencapai objektif yang dizahirkan itu atau terdapat motif terselindung lain? 

Adakah  mungkin harapan Hamzah, yang juga bekas pemimpin Umno itu akan menjadi realiti? 

Harus diingat, Umno pernah beberapa kali menyatakan bahawa parti itu bukan anggota rasmi dalam PN dan kerjasama itu hanya untuk penggal ini. 

Umno tidak mahu terikat dengan perikatan sedia ada. Maksudnya,  ia mahu wujud sebagai entiti berasingan yang bebas ketika berdepan dengan PRU-15 nanti kerana yakin dapat memenangi lebih banyak kerusi. 

Apatah lagi jika kerjasama dengan Pas diperkukuhkan kemungkinan besar 30 kerusi  marginal Parlimen dapat dirampas kembali daripada pembangkang.

GPS sebelum ini juga berkata pihaknya hanya menjadi sekutu PN di peringkat pusat dan bukan anggota rasmi gabungan. 

Tidak ada sebab untuk GPS dan mana-mana parti dari Sabah dan Sarawak untuk bergabung. 

Sebab, sebagai entiti bebas ia tidak perlu akur kepada dasar PN. Sebaliknya, ia dapat membuat keputusan sendiri. Malah, sebagai entiti politik bebas, parti terbabit dapat menjadi penentu atau ‘kingmaker’. Ia dapat memilih gabungan mana yang hendak membentuk kerajaan sebagaimana yang berlaku ketika PH tumbang tempoh hari. Dengan itu, tangannya berada di atas. 

Kuasa untuk berunding adalah lebih baik berbanding jika berada dalam gabungan rasmi. 

Kejayaan Kerajaan Sarawak di bawah GPS yang diterajui Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, termasuk menuntut Cukai Hasil Jualan Minyak dan Gas (SST) adalah disebabkan keberanian Abang Johari untuk BN Sarawak keluar dari BN dan membentuk GPS pada Jun 2018.

Sejak dibentuk pada Mac lalu, Umno dan bersatu sering dilihat bergeser. Pergeseran itu sesuatu yang bagai tidak dapat dielakkan. Seyogia diingat, pada PRU-14 Bersatu yang diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya memenangi 13 kerusi. Walaupun memenangi jumlah kerusi yang jauh lebih kecil daripada PKR, Bersatu tetap diberi jawatan Perdana Menteri sesuai dengan perjanjian yang termaktub menjelang PRU berkenaan.  

Bersatu semakin kukuh apabila ada ahli parlimen Umno melompat parti — mungkin ketika itu mereka memikirkan Umno sudah tidak lagi ada harapan.

Siapakah yang akan mendapat manfaat lebih besar jika gabungan itu berjaya dibentuk? Sebuah gabungan besar tentu akan mendatangkan manfaat kepada Bersatu dan Umno. Manakala parti-parti lain, mungkin akan dianggap sebagai parti kecil yang suara mereka dibenamkan. Ingat, bagaimana BN melayan parti-parti kecil ketika ia berada di puncak kuasa. Ada yang menyifatkan Umno ketika itu sebagai abang besar yang membuli adik-adik lain.

Yang pasti, Umno dan Bersatu mungkin akan bergelut atau bersaing untuk  mendapatkan kerusi lebih banyak menjelang PRU-15 nanti. Tindakan berkenaan pasti akan mengundang konflik dan jika tidak ditangani dengan berkesan, bakal memudaratkan kedua-duanya.  Mereka mahu memenangi sebanyak mungkin kerusi supaya dapat muncul sebagai parti dominan bagi membentuk kerajaan persekutuan.

Umno sudah pun merasai bagaimana derita dan sengsara selama 22 tahun berada di pihak pembangkang ketika PH memerintah.  

Umno ketika ini risau dengan pendirian Pas yang dilihat semakin cenderung kepada Bersatu dalam PN. Ingat, Pas ialah rakannya dalam Muafakat Nasional.  Sebagai parti yang bercita-cita besar dan dominan, Umno  mahu terus memastikan untuk mendapat sokongan dan kerjasama daripada Pas.

Untuk itu, kita perlu merujuk kepada kemelut politik minggu lalu yang menyaksikan bagaimana Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu  terpelanting dari kerusi Menteri Besar. Maksudnya, Umno dapat bertindak drastik tanpa mempedulikan kesannya terhadap semangat dan tujuan asal kerjasama itu. Satu demi satu jawatan Menteri Besar terlepas dari genggaman Bersatu — termasuk di Kedah, Johor dan Melaka. Kini Sabah diterajui pemimpin Bersatu selepas kemenangan dalam PRN September lalu.

Pas Perak mengumumkan parti itu tidak akan mengambil bahagian dalam pembentukan kerajaan baru manakala Bersatu dilihat tidak puas hati dengan Umno. Ini meletakkan Umno yang mengemukakan usul percaya di Dewan Undangan Negeri Perak dalam keadaan tersepit. Keadaan itu menyukarkan Umno kerana ia tidak cukup lima kerusi untuk membentuk kerajaan negeri. Apakah pilihan Umno? 

Ini menyebabkan Umno dalam keadaan tertekan sehingga sanggup pula bekerjasama dengan seteru politiknya, Pakatan Harapan yang turut dianggotai DAP. Kalaulah ia menjadi kenyataan, tidak dapat dibayangkan, bagaimanakah agaknya Umno hendak menjelaskan kepada tiga juta ahli dan penyokong akar umbinya.

Namun, masalah itu selesai selepas Presiden Umno  Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf atas tindakan parti itu dalam satu pertemuan dengan Presiden Bersatu  Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketika PN diwujudkan pada Februari lalu, persetujuan dibuat agar jawatan menteri besar dan ketua menteri dibuat secara konsensus, bukan berdasarkan parti yang memiliki paling banyak kerusi. Persetujuan dicapai agar Bersatu terus mentadbir Perak manakala Johor diberi kepada Umno dan Kedah kepada Pas. 

Persefahaman politik  harus dikekalkan bagi menghadapi PRU-15 akan datang agar PN bukan hanya dapat terus memerintah sebagai kerajaan pusat tetapi juga berjaya mengambil alih kerajaan negeri yang masih diperintah pembangkang. 

Untuk itu, persefahaman yang jitu amat diharapkan. Bagi menjamin kelangsungan perikatan berkenaan yang penting ialah keikhlasan. Sebarang bibit kesangsian dan kecurigaan dalam perikatan hanya akan mengundang padah. Dalam keadaan sekarang, ketiga-tiga parti itu kelihatan saling curiga dan berhati-hati agar tidak ditikam dari belakang oleh sekutu masing-masing.

Jika piagam persefahaman politik dan gabungan besar itu menjadi realiti, ia tentu akan lebih menguntungkan Bersatu dan merugikan Umno.  Kedua-dua parti terbabit kelihatannya saling mahu muncul dominan dan berkuasa. Umno perlu membaca dan mentafsir cadangan itu dengan betul agar tidak terpedaya dengan strategi licik berkenaan. 

Tentu Umno tidak mahu terperangkap dalam gabungan yang punya motif tersembunyi itu bagi memastikan survival dan kekukuhan Bersatu. Cadangan itu mencerminkan keinginan Bersatu untuk muncul dominan selepas PRU-15 kerana yakin hanya dengan cara itu ia dapat terus berkuasa dan berada pada kedudukan sekarang. 

Bagi Umno pula, ia mahu mengambil tempat dominan dan kembali berkuasa seperti sebelum PRU-14. Justeru, cadangan Bersatu untuk mewujudkan piagam persefahaman politik melalui gabungan besar  itu kemungkinan besar hanya akan menjadi angan-angan. Sebab, Umno dan GPS khususnya kemungkinan besar tidak akan bersetuju. 

Hakikatnya, bagi menentukan survival PN, mereka perlu mengkukuhkan persefahaman dan solidariti dan membunuh segala kesangsian dan kecurigaan. 

Siapa yang dapat menjamin bahawa Umno akan terus bekerjasama dengan Bersatu malah MN? Kemungkinan ia akan menyingkirkan Bersatu dan bekerjasama dengan PH menjelang PRU-15 atau selepas itu. Bukankah politik disifatkan sebagai seni yang serba mungkin?

Secara Rawak

Artikel Terbaru