KUALA LUMPUR: Inginkan gaya hidup dan dilihat mewah adalah antara sebab utama yang menjadi punca sebilangan besar belia terjebak dalam gejala rasuah.

Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha berkata angka 55 peratus daripada dapatan kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah 2020 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan bahawa jumlah belia yang terlibat dalam gejala itu sejak 2018 tidak berubah.

Kadar itu juga katanya turut berpunya kegagalan belia memahami implikasi terhadap jenayah akibat rasuah.

“Sebahagian generasi kita mereka ingin dilihat mewah, dilihat bergaya tetapi di luar kemampuan. Maknanya melepasi paras kemampuan gaji mereka.

“Yang keduanya kita lihat kesedaran dari segi implikasi rasuah ini kepada negara dan kepada generasi muda khususnya tidak dihayati oleh generasi muda terhadap kehilangan pendapatan negara, ketirisan, ” katanya seperti dipetik AstroAwani.

“Dan yang paling kita risaukan adalah golongan yang sepatutnya mendapat hak mereka tetapi dinafikan kerana gejala rasuah,” katanya pada Khamis.

Ketika ini, katanya, pelbagai program kesedaran yang dijalankan oleh kerajaan ataupun swasta masih lagi gagal dihayati oleh golongan ini dan ia dapat dilihat daripada angka yang dikeluarkan oleh SPRM.

Tambahnya, kalau dilihat pada akta undang-undang sedia ada, sudah mencukupi untuk menangani isu berkenaan.

Bagaimanapun untuk menentukan bahawa ia berkesan adalah sukar memandangkan hampir segalanya sudah dilakukan.

“Kita masih lagi buntu melihat mengapa undang-undang masih lagi tidak menjadi satu mekanisme yang mampu menghalang.

“Kita tidak mengharapkan seratus peratus tetapi dengan impak undang-undang, sekurang-kurangnya peratusan tadi itu turun,” jelasnya.

Belia, katanya, harus berpandangan lebih jauh dan melihat nilai kehidupan mereka bukan hanya semata-mata terletak kepada kemewahan tetapi kebahagiaan sebenar itu juga terletak pada apa yang dimiliki dari sifat dalaman diri.