KUCHING: Seorang buruh Indonesia yang mengaku merogol gadis bawah umur sehingga mengandung dikenakan 10 tahun penjara serta tiga sebatan rotan semalam.

Hakim Mahkamah Khas Kanak-kanak Jason Juga mengarahkan lelaki warga asing yang hanya dikenali dengan nama Iawan berusia 23 tahun dikenakan hukuman berjalan serta merta. Tertuduh yang bekerja sebagai buruh mengaku merogol teman wanita di bawah umur yang ketika itu berusia 14 tahun dan tujuh bulan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah pekerja milik syarikat makanan laut di Jalan Resak pada September lalu.

Menurut fakta kes, pengadu iaitu bapa mangsa membuat laporan polis setelah mangsa mengadu bahawa pada 24 November lalu sekitar jam 2 petang di rumah mereka di Jalan South Peace dekat Jalan Sungai Apong mangsa mengadu sering muntah.

Bapanya terus membawa mangsa ke klinik Tanah Puteh di Jalan Kwong Lee Bank untuk pemeriksaan dan didapati mengandung lapan minggu dan enam hari dan ketika itu mangsa hanya berusia 14 tahun dan tujuh bulan.

Tertuduh adalah teman lelaki mangsa dan mereka sudah mengenali sejak Jun 2020 dan telah melakukan hubungan seksual pertama kali pada Ogos 2020 di rumah sewa keluarga mangsa dan dua kali lagi kejadian berlaku pada bulan September dan Oktober 2020 di rumah pekerja tertuduh.