Sunday, June 26, 2022

Pan Borneo: Kementerian sedia bincang dengan Sabah

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) sedia berbincang dengan kerajaan negeri Sabah mengenai pelaksanaan kaedah baharu pembinaan projek Lebuh raya Pan Borneo di negeri itu.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia termasuk memberi kebenaran kepada negeri Sabah untuk melaksanakannya secara inisiatif kewangan swasta (PFI).

“Menjawab apa yang telah dikatakan Kinabatangan tadi, yang memohon supaya Pan Borneo di Sabah dapat disiapkan, kami sedia untuk berbincang dengan kerajaan Sabah tentang kaedah pelaksanaan yang baharu, sama ada secara PFI dan sebagainya… kita lihat bagaimana kedudukan kewangan kerajaan,” katanya menggulung Perbahasan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi KKR di Dewan Rakyat semalam seperti dilapor Bernama.

Peruntukan untuk kementerian itu kemudian diluluskan di peringkat jawatankuasa dengan suara majoriti selepas dibahas 10 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Terdahulu Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah ketika membahaskan rang undang-undang itu mahu KKR mempertimbang supaya kerajaan negeri Sabah dibenar melaksanakan projek Pan Borneo di Sabah dengan kaedah PFI.

Ia memandangkan masalah pembinaan projek itu yang sangat perlahan dan kini hanya pada tahap 20 peratus sedangkan pembinaan di Sarawak sudah mencapai 65 peratus.

“Saya mahu pastikan rakyat Sabah juga menikmati kesenangan apabila projek Pan Borneo ini disiapkan, jika setahun satu pakej sahaja siap, sampai 2040 pun belum siap-siap lagi,” katanya.

Fadilah ketika memperincikan perkembangan projek itu di Sabah berkata 16 daripada baki 20 pakej telah diluluskan dan akan dilaksanakan, dan daripada jumlah itu 15 telah ditender, satu dibatalkan akibat ketidakupayaan kontraktor serta akan ditender semula, manakala satu lagi diluluskan melalui pakej 2021 ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru