Tuesday, July 27, 2021

PRN Sarawak 2021: Belajar daripada Korea Selatan

Mesti baca

MENURUT International IDEA’S Global Overview terhadap impak Covid-19 terhadap pilihan raya, dua daripada tiga negara yang sepatutnya mengadakannya pada 2020, menangguhkan pilihan raya negara itu. Daripada 50 negara yang tetap meneruskan pilihan raya, sembilan daripadanya di Asia. 

Keprihatinan terhadap aspek kesihatan atau nyawa menjadi perhitungan utama sama ada pilihan raya perlu diadakan atau tidak. 

Sarawak kelihatannya tidak ada pilihan. Ia perlu mengadakan PRN — ada atau tidak ada Covid-19 pada tahun depan kerana tempoh penggal sekarang akan berakhir pada 6 Jun 2021.

SPR pasti telah memikirkan dan mempertimbangkan   untuk menyediakan SOP bagi membolehkan  pilihan raya diadakan  dalam suasana terkawal dan selamat. 

SPR boleh mengkaji pendekatan yang diambil  oleh negara lain yang pernah mengadakan pilihan raya umum sebelum ini termasuk Korea Selatan, Singapura dan New Zealand ketika Covid-19 sedang melanda. 

Pada Khamis SPR menyatakan bersedia jika Sarawak mengadakan PRN pada bila-bila masa dengan mengguna pakai  SOP yang lebih ketat. Ini tentu termasuk tiada  perarakan dan ceramah terbuka seperti biasa. Atau tiada kempen  kempen rumah ke rumah melibatkan orang ramai.  

Dengan kata lain, sebarang bentuk interaksi massa tidak akan dibenarkan kerana ini merupakan cara paling mudah untuk menyebarkan virus maut itu. 

Kita perlu mengambil iktibar daripada kejadian yang menimpa negara selepas PRN Sabah diadakan. Perlu diakui, peningkatan kes yang kita alami ketika ini adalah berpunca daripada PRN Sabah. Jadi kita perlu lebih berhati-hati dan menggunakan kearifan dan kebijaksanaan. Jangan sampai  pisang  berbuah dua kali.

Yang jelas, apabila kempen secara konvensinal seperti yang diamalkan dalam keadaan biasa sebelum ini tidak lagi dibenarkan,    apakah pilihan terbaik untuk mengadakan kempen supaya sesuai dengan prinsip dan semangat demokrasi?   

Nampaknya,  kempen bentuk baharu perlu diadakan bagi menjamin tidak berlaku penularan virus Covid-19. Jalan terbaik adalah dengan mengadakan kempen melalui dalam  talian dan ceramah melalui media sosial. Ini termasuk menggunakan Facebook, Youtube, Whatsapp dan sebagainya.  

Di Korea Selatan pada April lalu, NEC menyampoaikan mesej melalui pelbagai cara, termasuk melalui televisyen, radio, memasang poster di seluruh negara dan mempamerkan Tatapelakuan Pengundi.

Ini adalah pendekatan yang baharu dan masyarakat perlu menerima hakikat bahawa kaedah itu berbeza ketika Covid-19 dengan pilihan raya sebelum ini. 

Virus maut yang sentiasa mencari mangsa dan belum kelihatan reda itu pasti akan mengubah bagaimana kempen bakal dijalankan di negara ini. Dengan peraturan ketat dikenakan bagi membendung penularan virus itu, penjarakan sosial tentu perlu  diamalkan. 

Kelaziman baharu berkempen akan dapat kita saksikan. Dengan itu, suasana meriah dan riuh-rendah tidak akan lagi dapat disaksikan di alam nyata. Ia hanya akan berlaku di alam maya.

Di Korea Selatan, kempen  yang biasanya diselangi dengan muzik dan tarian, tetapi tidak lagi demikian pada April lalu. 

Calon dan tukang kempen yang biasanya berkempen dari atas van atau lori, memainkan lagu tema dan slogan politik, mengubah cara kempen mereka. Kempen beralih ke dalam talian, mesej  disampaikan melalui media sosial termasuk Whatsapp dan panggilan telefon terhadap pengundi yang berada di  rumah. 

Malah, ada calon yang menggunakan  teknologi ‘augmented reality’ untuk berinteraksi dengan para penyokong dan pengundi. Tetapi ada juga yang mengedarkan risalah ke rumah pengundi.

Kempen cara baharu ini tentu dapat menjimatkan kos dan masa kerana jurukempen tidak lagi perlu berbelanja besar untuk pengangkutan dan menggerakkan para pengundi ke sesuatu lokasi. 

Sebaliknya, yang diperlukan ialah ada capaian Internet atau peranti seperti komputer atau telefon  pintar. Kempen cara ini bukan tanpa cabaran dan kekangan. Bagaimanakah hendak pastikan golongan berusia yang tidak celik teknologi mengikuti kempen berkenaan? 

Seperkara lagi, anda dapat menyediakan segala macam kandungan, tetapi cabarannya adalah bagaimana untuk memastikan anda dapat mencapai sasaran yang betul? Namun, ingat, ini bukan bermakna, cara konvensional harus diketepikan langsung. Mengedarkan risalah dan bahan kempen bercetak lain  masih relevan. Berdasarkan pengalaman di Singapura dan Korea Selatan, adunan kedua-dua kaedah berkenaan penting demi mencapai keberkesanan.  

Namun, diakui bahawa perbelanjaan di pihak suruhanjaya terbabit untuk mengendalikan pilihancraya adalah lebih tinggi kerana ia pelru membeli pelbagai peralatan termasuk pelitup muka, pencuci tangan, nyahkuman, selain pelru menambahkan pusat mengundi bagi mengelakkan kesesakan. 

Persoalannya,  bagaimanakah proses kempen dalam talian bagi  kawasan luar bandar Sarawak yang tidak mempunyai capaian Internet yang stabil?  

SPR tentu dapat memikirkan cara terbaik untuk mengatasi masalah ini dengan berunding dengan pengendali perkhidmatan di kawasan-kawasan terjejas. Perbincangan itu  penting bagi memastikan proses kempen dalam talian berjalan lancar sekali gus para pengundi berasa yakin untuk mengundi.

Perkara yang dibimbangi ialah peratusan yang turun mengundi jika PRN diadakan ketika Covid-19 masih melanda. Namun, di Korea Selatan, 66.2 peratus pengundi turun mengundi — sebenarnya tertinggi sejak 1996.  

Bagi Singapura, 96 peratus pengundi  berdaftar turun mengundi pada 10 Julai lalu — tertinggi sejak kemerdekaan negara pulau itu. Waktu mengundi juga dilanjutkan hingga 10.00 malam daripada 8.00 malam.

Hal ini bermaksud, Kerajaan Korea Selatan berjaya menyediakan suasana selamat dan dapat meyakinkan pengundi untuk menjalankan tanggungjawab mereka.  Korea Selatan juga membenarkan pengundian awal dan pengundian melalui pos. Di Singapura, Jabatan Pilihan Rayanya  mengekhaskan masa dari 8 pagi hingga 12 tengah hari untuk pengundi berusia 65 tahun ke atas ketika angka jangkitan sekitar 44,000. 

Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) memperkenalkan langkah ketat bagi proses pengundian, dari ketika pengundi berbaris di luar pusat mengundi hingga bagaimana bahan kempen dikendalikan. Mereka mewujudkan Tatacara Pelakuan agar pengundi bersedia dan mengamalkannya pada hari mengundi. 

Petugas pada hari tersebut juga perlu akur arahan dan prosedur dengan ketat, termasuk memastikan tempat pembuangan undi sentiasa dinyahkuman dan ventilasi udara sentiasa dalam keadaan baik. Langkah keselamatan juga disediakan untuk pegawai polis, wakil media dan para pemerhati. 

Di Korea Selatan April lalu, pusat mengundi dinyahkuman sehari sebelum hari mengundi. Pada hari pengundian, para pengundi diwajibkan memakai pelitup muka. 

Pegawai pilihan raya menyemak suhu badan setiap pengundi di tempat masuk dengan menekankan penjarakan. Setiap pengundi juga diwajibkan mensanitasikan tangan dan mengekalkan penjarakan sekurang-kurangnya satu meter di pusat mengundi. 

Hak mereka yang disyaki dan terkena Covid-19  juga tidak diabaikan dengan menyediakan tempat mengundi khas untuk mengelak mereka terdedah kepada pengundi lain. 

Namun, pengundi dalam kategori ini perlu membuat permohonan  rasmi terlebih dahulu kepada  NEC.  Mereka yang dikuarantin di rumah juga dibenarkan mengundi selepas pusat mengundi ditutup untuk pengundi biasa. 

Dalam keadaan sekarang, bagi menjayakan sebarang pilihan raya, persefahaman semua pihak terbabit, termasuk parti politik dan agensi pelaksana adalah diperlukan. 

Persekitaran politik yang kondusif amat dituntut agar parti politik dan calon menerima segala kekangan. Di pihak pengundi dan rakyat pula, mereka perlu memiliki semangat sivik dan tanggungjawab sosial yang tinggi bagi memastikan peratusan turun mengundi yang tinggi. Kerjasama yang padu dan efektif dalam kalangan kementerian, jabatan dan agensi terbabit perlu ditingkatkan bagi menjamin kejayaan PRN nanti. 

Strategi dan kaedah komunikasi awam yang berkesan juga diperlukan bagi menyampaikan segala maklumat berkaitan bagi memastikan pengundi dan rakyat akur kepada segala peraturan dan langkah yang dikuatkuasakan.

Ancaman Covid-19 bukan alasan untuk tidak mengadakan pilihan raya asalkan keadaannya terkawal dan angka kes jangkitan tidak banyak, selain perlunya diwujudkan tatacara perlakuan dan prosedur operasi standard yang ketat. Keadaan luar biasa memerlukan pendekatan luar biasa. Hanya dengan itu, kita dapat menjayakan PRN atau PRU dengan berkesan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru