Monday, January 24, 2022

Jangan beri peluang kepada DAP, kata Pas

Secara Rawak

KUALA LUMPUR. Muafakat yang masih muda dan perpaduan yang sangat mencabar perlu disemai dengan reaksi yang rasional, kata Ketua  Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Mohd Nor Hamzah merujuk kepada perkembangan terbaharu politik Perak.

Menurut  beliau, situasi di Perak mengundang berbagai reaksi dan andaian. 

“Kita tidak menyalahkan apa-apa sahaja reaksi dan andai kerana ia adalah permasalahan yang merunsingkan banyak pihak,” katanya dalam satu kenyataan. 

Walaupun demikian, jelasnya,  Pas mesti bergerak atas matlamat yang telah ditetapkan dan hala tuju yang telah disusun.

Tiga hari lalu, setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan berkata, Pas tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan baharu di Perak

Katanya, keputusan itu selaras dengan tindakan tiga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu yang menyokong usul percaya terhadap Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

“Maka selaras dengan keputusan tersebut, PAS Pusat telah membuat ketetapan untuk tidakmenyertai usaha pembentukan Kerajaan Negeri Perak yang baharu,” Takiyuddin dipetik berkata oleh media.

“Sifat marah mesti dipadamkan. Emosi mesti dikawal. Allah SWT telah memperteguhkan penyatuan Sahabat-sahabat Nabi dengan sifat bermaaf-maafan, sentiasa beristighfar (memohon ampun kepada Allah terhadap segala kesilapan) dan kembali ke meja permesyuaratan dan rundingan,’” kata Mohd Nor Hamzah.

“Muafakat Nasional merupakan satu kejayaan yang dicemburui oleh musuh. Perikatan Nasional merupakan satu kekuatan yang digeruni oleh lawan,” tegasnya. 

“Jangan dengan sebab apa-apa kesilapan, ia memberi peluang kepada DAP dan sekutunya (PH) berjaya membina semula menara kekuasaan yang membuahkan kekecewaan kepada ummah,” ujarnya. 

Sebaliknya beliau mahu  muafakat ummah  diperteguh untuk merebahkan musuh di pintu kegagalan penguasaannya dalam politik negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru