GEORGE TOWN: Seorang tukang masak, 42 tahun, maut selepas ditikam  dengan 10 tikaman oleh pengawal keselamatan di pondok pengawal sebuah pangsapuri di Paya Terubong, di sini malam tadi.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa, juga rakannya,  datang menemui suspek di pondok berkenaan kira-kira jam 8 malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong dalam satu kenyataan, suspek yang belum berkahwin  ditangkap pada jam 10.30 malam tadi di kediamannya di pangsapuri berkenaan.

Katanya,  siasatan awal mendapati suspek  berusia 65 tahun dipercayai menikam mangsa menggunakan sebilah pisau kerana marah sering diganggu dan diugut. 

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah dengan 10 tikaman di badan,” katanya lagi.

“Turut dirampas adalah sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa,” katanya.

Siasatan awal mendapati suspek turut mempunyai dua rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.