Sunday, July 3, 2022

Setiap projek dipantau

Secara Rawak

KANOWIT: Kerajaan GPS sentiasa memastikan projek dilaksanakan sebaik mungkin demi manfaat rakyat.

Adun Machan Allan Siden Gramong berkata, setiap projek yang dilaksanakan oleh GPS untuk manfaat rakyat dan bukannya keuntungan pihak tertentu.

“Projek yang kita laksanakan adalah telus dan adil hanya untuk rakyat. “Tiada satu sen pun ‘masuk kocek’ kerana GPS mempunyai pemantau untuk setiap projek yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan peruntukan Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) kepada 16 rumah panjang di kawasan Dun Machan di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, PPRMS di bawah Jabatan Ketua Menteri dan Unit Perancang Ekonomi Sarawak.

“Projek PPRMS ini merupakan inisiatif kerajaan untuk meneruskan kesinambungan usaha bagi membantu rakyat yang tidak berkemampuan memiliki rumah yang selesa untuk didiami dan mengurangkan beban yang mereka alami,” katanya.

Allan berkata, tiada sebab pihak tertentu mempertikai projek yang dilaksanakan GPS kerana ia merupakan tanggungjawab Kerajaan Sarawak untuk memastikan rakyat yang layak menerima projek berkenaan.

“Kami mahu berkhidmat dengan telus dan jujur tanpa menyisihkan mana-mana golongan sasar yang layak agar tidak tercicir. “Kami mempunyai komitmen mahu bekerja dan berkhidmat kepada rakyat,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Allan turut mengingatkan penduduk di Kanowit terutama di kawasan Dun Machan agar terus menyokong GPS sebagai tulang belakang Kerajaan Sarawak.

Katanya lagi, GPS di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan terus memastikan negeri ini dan rakyatnya terus sejahtera dan makmur dalam mendapatkan pelbagai manfaat sekiranya terus diberi mandat pada pilihan raya akan datang.

“Tiada parti lain yang boleh berjuang untuk Sarawak selain GPS. Kita sudah lihat kemampuan parti lain yang menjadi kerajaan di peringkat pusat seperti sekarang,” katanya.

“Adalah lebih baik GPS kita kekalkan untuk terus mentadbir negeri Sarawak kerana kita sudah lihat kemampuannya dengan pelaksanaan pelbagai projek demi keperluan rakyat,” tambah beliau.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru