PERSOALAN dan teka-teki yang kini bermain dalam pemikiran rakyat dan pengundi di Sarawak ialah, bilakah Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan?  Sebelum ini ada yang meramalkan  PRN-12 akan diadakan sebelum hujung tahun ini.  

Namun, bulan Disember menuju ke pengakhiran sekali gus bermaksud tidak mungkin PRN-12 diadakan pada tahun ini.  

Sebab, dari tarikh pembubaran hingga hari pengundian, biasanya mengambil masa sekitar sebulan.

Anjakan tarikh itu kelihatannya tidak dapat dielakkan. Sentimen  dan pendirian rakyat beberapa minggu lalu, jelas tidak memihak PRN diadakan dalam waktu terdekat. 

Tetapi dengan jumlah kes Covid-19 semakin terkawal, dengan beberapa hari tiada kes baharu di Sarawak, sudah pasti pendirian dan sentimen rakyat juga berubah ke arah pendirian yang lebih positif. 

Keprihatinan terhadap aspek kesihatan atau nyawa menjadi perhitungan utama sama ada pilihan raya perlu diadakan atau tidak. Menurut International IDEA’S Global Overview terhadap impak Covid-19 terhadap pilihan raya, dua daripada tiga negara yang sepatutnya mengadakannya pada 2020, menangguhkan pilihan raya negara itu. Daripada 50 negara yang tetap meneruskan pilihan raya, sembilan daripadanya di Asia.  

Ketika jumlah kes jangkitan bertambah sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata,  PRN tidak akan diadakan ketika pandemik Covid-19 masih membelenggu negara.

Jadi, bilakah masa paling sesuai untuk melangsungkan PRN? Sudah tentu bukan pada Januari atau  Februari 2021 ketika ibu bapa sibuk hendak menghantar anak ke sekolah dan masyarakat Cina mengadakan sambutan Tahun Baharu Cina pada 12 Februari. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baharu Cina, perayaan  itu akan ditamatkan dengan Chap Goh Mei.  

Seyogia diingat, PRN tentu tidak akan mungkin dilakukan pada bulan Ramadan yang dijangka mulai diraikan pada 12 April depan. Selepas itu akan diadakan pula Hari Raya Aidilfitri. Di atas kertas, kemungkinan besar PRN diadakan antara minggu ketiga Mac hingga minggu pertama April. 

Tempoh DUN sekarang akan tamat  pada 6 Jun tahun depan, dan pilihan raya harus diadakan dalam tempoh 60 hari bagi mengelakkan ia terbubar secara automatik.  

Besar kemungkinan kerajaan tidak akan membiarkan DUN terbubar secara automatik. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara. 

Hal ini bermakna PRN-12 Sarawak mesti diadakan sebelum 6 Ogos 2021   kerana mesyuarat pertama DUN Sarawak diadakan genap sebulan selepas PRN-11, iaitu pada 7 Jun 2016. Implikasinya ialah  PRN-12 wajib diadakan walaupun wabak Covid-19  ketika itu masih belum reda kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Negeri.

Kita doakan pandemik Covid-19 sudah benar-benar dapat dibendung ketika itu nanti bagi memastikan segala aktiviti dapat dijalankan, terutama sektor ekonomi. Dunia sudah cukup merana disebabkan ancaman virus maut itu.

Pada akhir Oktober lalu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menetapkan prosedur operasi standard (SOP) menjelang PRN-12.

Ketua Menteri menegaskan, SOP  berkenaan perlu mengambil kira keadaan semasa pandemik Covid-19 sekali gus membolehkan PRN 12 diadakan dalam suasana selamat. 

Untuk itu, SPR tentu perlu bekerjasama rapat dengan kementerian kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri. Maksudnya, keselamatan dan kesihatan rakyat tidak dapat dikompromi ketika PRN diadakan.   

Yang perlu difahami oleh 2.8 juta rakyat Sarawak ialah Sarawak tiada pilihan untuk tidak mengadakan PRN-12 kecualilah darurat  diisytiharkan — sesuatu yang tidak mungkin berlaku memandangkan jumlah kes jangkitan di negeri ini kelihatannya terkawal berbanding dengan di beberapa negeri lain.